Buletin

KOMPAUN RENTAS NEGERI/DAERAH PALING TINGGI DI KELANTAN

Polis Kelantan mengeluarkan 496 kompaun terhadap individu dan premis perniagaan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh 1 Januari hingga 23 Jun lalu.

Daripada jumlah itu, kesalahan rentas negeri dan daerah mencatat jumlah tertinggi dikompaun iaitu 204 kes diikuti kesalahan tidak memakai pelitup muka sebanyak 110 kes dan gagal menyediakan rekod kehadiran pelanggan, 69 kes.

Kesalahan lain antaranya melakukan pelbagai aktiviti dilarang (39 kes), tidak mematuhi penjarakan fizikal (31 kes), keluar rumah tanpa alasan kukuh (25 kes), premis beroperasi melebihi masa (12 kes) dan membawa penumpang lebih daripada had (enam kes).

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, kesemua kompaun terbabit dikeluarkan di bawah Akta 342 atau Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Jelas beliau, kesemua kesalahan berkenaan dikompaun minimum RM1,500 hingga maksimum RM20,000 membabitkan individu dan syarikat.

“Setakat ini kesemua kesalahan berkenaan masih dibenarkan membuat rayuan dan pihak yang dikenakan kompaun boleh memohon supaya dikurangkan jumlah denda.

“Mereka boleh melakukan rayuan di pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan lanjut dan akan diberi pengurangan denda sehingga 50 peratus oleh pihak berkenaan,” katanya – UTUSAN/AWANI

Google ads
Back to top button