
RENTAS NEGERI SEBAB NAK TANGKAP BIAWAK, NASI DI KEDAH LAGI SEDAP
Rentas negeri dari Kedah ke Pulau Pinang untuk tangkap biawak. Itu antara alasan empat daripada 17 individu yang ditahan pihak polis atas kesalahan rentas negeri menggunakan laluan tikus di Kampung Selamat di Tasik Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini.
Operasi yang bermula jam 4 petang itu dijalankan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di laluan tikus berhampiran sempadan ke Padang Serai, Kedah. Ia turut membawa kepada penangkapan seorang lelaki yang dipercayai menggunakan borang rentas negeri yang diragui kesahihannya.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bertindak atas maklumat awam pihaknya mengadakan operasi mengejut di tiga laluan tikus yang dikenal pasti berhampiran Padang Serai, Kedah.

Hasil pemantauan mendapati rata-rata individu menggunakan alasan tidak munasabah untuk rentas negeri, selain menggunakan laluan tikus bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Ada yang rentas dari Pulau Pinang dan ada juga dari Kedah masuk ke sini. Mereka memberi alasan rentas negeri untuk membeli barang keperluan. Malah ada yang mendakwa nasi di Kedah lebih sedap.
Menurut Noorzainy, semua individu berkenaan dikompaun RM5,000 setiap seorang atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran yang sah. Pihak polis tidak menolak kemungkinan orang ramai menggunakan laluan tikus untuk merentas negeri serta daerah susulan pemeriksaan ketat di semua Sekatan Jalan Raya.

“Operasi sebegini akan dilakukan secara berterusan sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakkan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19.
“Selain itu, kita juga akan menambah kekuatan pasukan pemantauan di laluan tikus yang dikenal pasti sekitar daerah SPU,” ujar Noorzainy.
Dalam perkembangan sama, Noorzainy menasihatkan semua penduduk di Seberang Perai serta sempadan negeri Pulau Pinang untuk mematuhi SOP yang dikuatkuasakan bagi mengelakkan tindakan undang-undang termasuk kompaun dikenakan. – MalaysiaGazette