Buletin

RESTORAN GUNA ROBOT HANTAR MAKANAN

Rangkaian restoran nasi kandar, Q Bistro mengambil keputusan untuk menggunakan robot penghantar makanan bagi mengehadkan risiko penularan wabak Covid-19.

Pengurus kawasan Q Bistro, Syednazir Mohd Ibrahim berkata, penggunaan robot penghantar makanan sejak dua bulan lalu itu telah dilaksanakan di kesemua 10 cawangan restoran tersebut sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, rata-rata pelanggan juga memberikan reaksi positif terhadap inovasi perkidmatan yang dilakukan itu.

“Pelanggan yang datang ke restoran kami, mereka suka dengan penggunaan inovasi ini. Robot ini akan menghantar makanan kepada pelanggan secara automatik dan pelanggan perlu mengambilnya daripada dulang yang dibawa oleh robot tersebut.

“Kanak-kanak pun gembira. Ada yang ambil gambar dan video,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Selain melindungi kesihatan pelanggan dan pekerja, Syednazir berkata, penggunaan inovasi itu turut mengurangkan beban pekerja khususnya ketika waktu puncak, di samping membantu mempercepat dan mempermudahkan proses penghantaran makanan.

Dia menambah, setiap penghantaran makanan yang menggunakan robot tersebut boleh memenuhi pesanan dari empat meja makan di restoran itu.

Syednazir turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang dalam perancangan untuk menambah dua atau tiga robot penghantar makanan di setiap cawangan restoran syarikatnya berbanding satu robot yang sudah digunakan ketika ini. – SH

Google ads
Back to top button