LELAKI BELI LAMBO URUS, FORD F-350 TIPU DANA COVID-19. KENA PENJARA 9 TAHUN
Seorang lelaki dari Houston, Texas, Amerika Syarikat (AS) dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun selepas didapati melakukan pemalsuan Program Perlindungan Gaji (PPP) pandemik Covid-19 dengan menerima pinjaman wang berjumlah AS$1.6 juta (RM6.73 juta) pada kadar faedah rendah.
Jabatan Kehakiman memerintahkan Lee Price III, 30, dari Houston, Texas, dijatuhi hukuman tersebut kelmarin selepas dia mengaku bersalah atas penipuan dan pengubahan wang haram.
Sebahagian wang daripada dana tersebut digunakan lelaki itu membeli sebuah jentera mewah Lamborghini Urus bernilai AS$233,000 (RM9.8 juta).
Selain itu, dia menggunakan wang tersebut untuk membeli Ford F-350 pada harga AS$85,000 (RM 359,252) dan seutas jam tangan Rolex bernilai AS$14,000 (RM59,171).
Lee Price turut berbelanja sebanyak AS$2,000 (RM8,420) di kelab penari bogel dan AS$700 (RM2,945) bagi membeli minuman keras.
Pegawai rasmi menyatakan bahawa Price mendapat dana dengan mengemukakan bilangan pekerja dan perbelanjaan gaji secara palsu dalam setiap permohonan pinjaman PPP serta rekod cukai palsu dan bahan lain.
Mei lalu, Peguam Negara AS, Merrick Garland menubuhkan Pasukan Petugas Penguatkuasaan Penipuan Covid-19 untuk memerangi penipuan.
Lebih 150 orang telah didakwa kerana mendapatkan pembiayaan PPP secara palsu dalam lebih 95 kes jenayah.
Lebih daripada AS$75 juta (RM316 juta) wang tunai telah dirampas dalam bentuk dana yang diperoleh secara penipuan, bersama hartanah dan barangan mewah yang dibeli menggunakan wang tersebut. – carscoops/KOSMO!