Buletin

CUBA RENTAS NEGERI, WANITA SANGGUP BARING DALAM BOOT BEZZA

Tindakan seorang wanita warga Indonesia yang bersembunyi dalam bonet sebuah kenderaan e-hailing untuk merentas negeri tanpa kebenaran, berjaya dihidu polis dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Ops Covid-19, di Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka pada petang Rabu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, kereta Proton Bezza yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan anggota polis yang bertugas. Pemeriksaan di bahagian bonet mendapati wanita berusia 28 tahun dari Nilai, Negeri Sembilan berada dalam keadaan baring.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Arshad Abu berkata, soal siasat awal mendapati pemandu yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu mahu menghantar wanita yang tidak mempunyai pasport perjalanan sah itu berjumpa suaminya yang telah setahun tidak bertemu di Rembia, Alor Gajah.

Menurutnya, wanita yang sebelum itu duduk di bahagian belakang kenderaan, bertindak masuk ke dalam bonet sebelum melalui SJR berkenaan dan perbuatan itu dilihat anggota yang bertugas.

Ketika kejadian anggota bertugas terdiri daripada empat anggota polis, dua anggota tentera dan seorang petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Penahanan lelaki itu kemudian membawa kepada tangkapan kedua yang dimaklumkan dari Nilai untuk ke Rembia, Alor Gajah,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. Lelaki berkenaan turut disiasat di mengikut Seksyen 56(1)(D) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa dokumen yang sah.

“Wanita itu pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada pengenalan diri yang sah,” katanya. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button