Buletin

JETOUR PILIH MALAYSIA SEBAGAI HAB R&D ASIA-PASIFIK, SASAR EKSORT KE ASEAN, OCEANIA DAN TIMUR TENGAH

Jetour Malaysia mengorak strategi serantau dengan mengumumkan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi rantau Asia-Pasifik (APAC).

Langkah ini memperkukuh peranan Malaysia bukan sekadar sebagai pusat pemasangan, malah sebagai tunjang inovasi untuk pasaran serantau.

Usaha ini akan digerakkan dengan sokongan daripada rangkaian operasi Jetour di Indonesia, Thailand dan Australia, yang masing-masing akan menyumbang input pasaran serta maklum balas teknikal bagi memastikan pembangunan produk yang lebih relevan, cekap dan kompetitif.

Melalui sinergi ini, Jetour menyasarkan pembangunan kenderaan yang lebih sesuai dengan keperluan dan citarasa pengguna di pelbagai negara dalam rantau APAC.

Dalam masa yang sama, Jetour turut merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan eksport ke negara-negara ASEAN, Oceania dan Timur Tengah.

Dengan kedudukan geografi strategik dan infrastruktur automotif yang kukuh, Malaysia dilihat sebagai lokasi ideal untuk menyokong penghantaran produk Jetour ke pasaran luar secara lebih efisien.

Langkah ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem automotif serantau, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta potensi pemindahan teknologi, selari dengan aspirasi negara untuk menjadi hab automotif dan teknologi yang mapan di rantau ini.

Google ads
Back to top button