
ENJIN BOXER TURBO TERBARU – TAPI BUKAN SUBARU
Jenama BYD yang sinonim dengan kereta elektrik dan juga bateri Lithium Ferrous Phospahte telah melancarkan satu lagi kereta sedan prestasi tinggi yang diberi nama BYD YangWang U7. YangWang merupakan satu cabang daripada BYD yang menumpukan pada produk mewah berteknologi tinggi
BYD YangWang U7 ditawarkan dalam 2 varian utama iaitu pilihan elektrik sepenuhnya dan juga plug-in hybrid. Apa yang mengejutkan ialah varian plug-in hybrid ditawarkan sekali dengan pilihan enjin boxer 4 silinder turbo 2000cc
Varian elektrik ditawarkan dengan tetapan 4 motor elektrik, membenarkan YangWang U7 memecut dari 0-100km/jam dalam masa 2.9 saat dan bateri sebesar 135kWh membenarkan YangWang U7 dipandu sejauh 720km (CLTC) untuk satu pengecasan penuh
Namun perkara yang paling menarik ialah varian PHEV yang dipasang dengan enjin bocer turbo tadi, menjadikan BYD YangWang U7 adalah kereta pertama di dunia yang menawarkan tetapan 4 motor elektrik dan enjin boxer turbo
Enjin ini menghasilkan kuasa sehingga 268 kuasa kuda & 380Nm tork, tapi kuasa keseluruhan sistem ini ialah 1305 kuasa kuda dan 1584Nm tork. Bagi motor elektrik pula, ia menjana sehingga 321 kuasa kuda bagi setiap unit
BYD dilaporkan mengambil masa sekitar 3 tahun untuk membangunkan enjin ini, termasuklah membaiki struktur aliran minyak pelincir dengan menggandakan kapasiti minyak pelincir yang digunakan berbanding dengan rekaan konvensional
Dalam aspek ujian, BYD telah menjalankan esperimen dengan enjin ini beroperasi pada full throttle selama 8000 jam atau bersamaan 333 hari tanpa henti bagi menguji ketahanan enjin boxer ini
Rekaan enjin boxer 4 silinder ini dipilih kerana enjin ini sebenarnya dipasang di atas bateri, motor dan juga platform e4 yang baru. Enjin boxer yang nipis akan memastikan BYD YangWang U7 mengekalkan pekali geseran yang rendah iaitu pada 0.195
Enjin boxer 4 silinder juga boleh direka dengan kompak dan menawarkan pusat graviti yang rendah berbanding dengan enjin 4 silinder sebaris. BYD juga menegaskan enjin boxer ini juga mampu menawarkan NVH yang baik, gegaran yang minima, lebih senyap dan lebih selesa kepada penumpang BYD YangWang U7
Walaupun mengekalkan sistem 4 motor, varian PHEV sebenarnya lebih perlahan berbanding dengan varian elektrik sepenuhnya menawarkan pecutan 0-100km/jam dalam masa 4.1 saat sahaja ketika bateri hampir habis sepenuhnya
Varian ini juga menggunakan bateri yang lebih kecil sedikit iaitu dengan kapasiti 52.4kWh dengan jarak perjalanan EV sepenuhnya sekitar 200km (CLTC). Dengan tangki petrol sebesar 60 liter, BYD YangWang U7 boleh dipandu sejauh 1000km dalam gabungan mode elektrik dan juga hibrid
Sistem cesi juga dipasang dengan stering 4 roda depan belakang, penyerap hentak kawalan motor elektrik (DiSus-Z body control and suspension system) yang membenarkan parameter penyerap hentak berubah secara automatik bergantung pada keadaan permukaan jalan
BYD YangWang U7 juga dilengkapkan dengan sistem ADAS terkini daripada BYD yang dikenali dengan nama God’s Eye yang menggabungkan 3 sensor LIDAR, 5 radar milimiter wave, 12 kamera resolusi tinggi, 12 radar ultrasonic dan juga perisian pemanduan sendiri tahap 2