Buletin

JETOUR MERIAHKAN MALAYSIA SARONG MUSIC RUN, T2 i-DM JADI TUMPUAN

JETOUR Malaysia sekali lagi mengukuhkan kehadirannya dalam acara gaya hidup dan komuniti apabila tampil sebagai Penaja Utama serta Rakan Kereta Rasmi Malaysia Sarong Music Run 2026 yang berlangsung di sekitar KLCC pada 19 September ini.

Penyertaan tersebut bersempena sambutan Hari Malaysia dan meneruskan kerjasama yang dimulakan pada edisi tahun lalu.

Acara larian bertemakan budaya itu dijangka menarik ribuan peserta dan pengunjung menerusi gabungan aktiviti sukan, hiburan, muzik serta pelbagai program komuniti sepanjang hari.

Menurut JETOUR Malaysia, penglibatan dalam acara berkenaan selaras dengan konsep Travel+ yang menjadi teras jenama itu. Falsafah tersebut menekankan bahawa perjalanan bukan hanya mengenai destinasi, sebaliknya pengalaman yang diperoleh sepanjang pengembaraan.

Sepanjang acara berlangsung, orang ramai berpeluang mengunjungi reruai JETOUR di Race Village KLCC dan Pavilion Bukit Bintang bagi melihat sendiri rangkaian model yang ditawarkan syarikat itu. Antara model yang dipamerkan ialah Dashing, VT9, T2 dan T1.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan pelancaran model T2 i-DM yang dijadual berlangsung pada sebelah malam di pentas utama Malaysia Sarong Music Run.

Bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan pemilik kenderaan jenama tersebut, JETOUR turut menganjurkan Konvoi Pemilik JETOUR yang menghimpunkan komuniti pengguna untuk berkongsi minat terhadap dunia automotif dan aktiviti pengembaraan.

Selain aktiviti yang dibawakan oleh JETOUR, pengunjung juga bakal disajikan dengan pelbagai acara hiburan termasuk persembahan muzik secara langsung dan pertunjukan dron yang menghiasi ruang udara sekitar KLCC.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Malaysia, JETOUR Malaysia turut memperkenalkan beberapa tawaran promosi khas bagi model terpilih.

Bagi model JETOUR T1 1.5L TGDi 2WD, pembeli terawal akan menerima rebat RM2,000 yang ditawarkan kepada 2,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan kenderaan tersebut. Model JETOUR T2 2.0TD XWD pula menikmati rebat RM2,000.

Untuk model Dashing Prime, pelanggan boleh menikmati potongan harga sehingga RM10,000, manakala VT9 Prime ditawarkan dengan rebat lebih tinggi iaitu RM15,000.

Promosi berkenaan diharap dapat memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki kenderaan JETOUR sambil meraikan semangat Hari Malaysia.

Google ads
Back to top button