
JPJ TIDAK LAGI KELUARKAN SLIP CUKAI JALAN FIZIKAL MULAI 1 FEBRUARI 2026
Pos Malaysia Berhad dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan bahawa mulai 1 Februari 2026, tiada lagi pengeluaran slip cukai jalan bercetak bagi kenderaan persendirian milik warganegara Malaysia.
Langkah ini seiring dengan usaha berterusan kerajaan Malaysia untuk menggalakkan penggunaan sistem digital dalam perkhidmatan kerajaan termasuk cukai jalan dan lesen memandu.
JPJ sebelum ini telah memperkenalkan format cukai jalan digital yang boleh diakses melalui aplikasi MyJPJ, di mana semua rekod cukai jalan akan disimpan dan disahkan secara digital tanpa memerlukan salinan fizikal pada cermin kereta.
Dengan inisiatif ini, pemeriksaan oleh pihak berkuasa dapat dibuat terus melalui sistem JPJ menggunakan nombor pendaftaran kenderaan.
Bagi pemilik kenderaan yang masih memerlukan slip fizikal, Pos Malaysia menasihatkan agar anda memperbaharui cukai jalan dan insurans motor di pejabat pos berdekatan sebelum 1 Februari 2026.
Urusan di pejabat pos masih memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan cetakan fizikal seperti biasa sebelum perkhidmatan itu dihentikan sepenuhnya pada tarikh tersebut.
Sementara itu, pemilik juga boleh memilih untuk mencetak lesen memandu dalam bentuk kad fizikal melalui kaunter JPJ.
Perkhidmatan ini disediakan dengan caj sebanyak RM20, tanpa perlu mengemukakan bukti perjalanan ke luar negara seperti sebelum ini.
Perkhidmatan ini bertujuan membantu mereka yang lebih selesa dengan dokumen fizikal atau memerlukan bagi tujuan tertentu, contohnya pendaftaran lesen memandu antarabangsa di luar negara.
Peralihan kepada sistem digital berpotensi mengurangkan kesesakan di kaunter, menjimatkan kos cetakan dan memberi kemudahan kepada pengguna untuk mengakses maklumat mereka bila-bila masa. – Pos Malaysia Berhad
- BACA: MICHELIN RAI TAHUN BAHARU DENGAN TAWARAN TAYAR TERBAIK MELALUI KEMPEN “DOUBLE HAPPINESS”
- BACA: BYD PERLUAS BARISAN HIBRID PLUG-IN, SPEKULASI ‘DM-I 6.0’ TULAR
- BACA: MITSUBISHI TRITON 2026 DIDEDAHKAN DI JEPUN – HARGA SEKITAR RM175K
- BACA: TEMPAHAN HONDA PRELUDE DIBUKA DI INDONESIA – HARGA BAWAH RM300K





