Buletin

MITSUBISHI TRITON 2026 DIDEDAHKAN DI JEPUN – HARGA SEKITAR RM175K

Mitsubishi memperkenalkan versi terkini trak pikapnya, Triton 2026, untuk pasaran Jepun dengan penambahbaikan utama tertumpu kepada sistem suspensi dan keselesaan pemanduan.

Model baharu ini dibangunkan berasaskan pengalaman jenama itu dalam perlumbaan rali AXCR, sekali gus membawa masuk penyerap hentak hadapan dan belakang jenis “performance damper”, dibekalkan oleh Yamaha Motor – teknologi yang turut digunakan pada beberapa model Toyota dan Lexus.

Selain komponen baharu tersebut, jurutera Mitsubishi turut melakukan talaan semula pada suspensi hadapan serta titik pemasangan badan kenderaan bagi meningkatkan kestabilan keseluruhan.

Menurut Mitsubishi, naik taraf ini membantu menjadikan pemanduan lebih selesa, khususnya ketika melalui jalan tidak rata, di samping mengurangkan gegaran menegak dan getaran yang berpunca daripada enjin.

Pendekatan ini selari dengan trend semasa industri, selepas Nissan turut memperkenalkan sistem penyerap hentak berbeza pada Navara 2026 yang dibangunkan bersama firma Australia, Premcar.

Di Jepun, Triton 2026 kini ditawarkan secara eksklusif dalam varian tertinggi GSR kabin berkembar pacuan empat roda, dengan harga bermula sekitar 5.52 juta yen (anggaran RM175,000).

Varian GLS dan Black Edition telah dihentikan pengeluarannya untuk pasaran tersebut.

Dari segi penampilan dalaman, pemegang pintu dan kemasan sekitar tuil gear kini menggunakan tona warna lebih gelap, manakala sportbar di bahagian belakang telah digugurkan bagi memberi lebih kebebasan kepada pemilik untuk membuat pengubahsuaian sendiri.

Model ini juga menerima strut gas pada pintu belakang kargo – ciri yang sudah lama menjadi kelengkapan standard bagi beberapa varian Triton di Australia – serta sistem penulen udara Nanoe X keluaran Panasonic untuk pasaran Jepun.

Langkah ini dilihat sebagai usaha Mitsubishi mengekalkan daya saing Triton dalam segmen trak pikap sederhana yang semakin sengit, dengan menumpukan kepada aspek keselesaan tanpa menjejaskan keupayaan lasaknya.

Google ads
Back to top button