
TEMPAHAN HONDA PRELUDE DIBUKA DI INDONESIA – HARGA BAWAH RM300K
Honda Prospect Motor (HPM) secara rasmi memperkenalkan Honda Prelude di Indonesia, sekali gus menjadikan negara itu pasaran pertama di Asia Tenggara menerima model berkenaan selepas debut globalnya.
Model sedan sport hibrid ini kini sudah boleh ditempah menerusi sistem pra-tempahan, dengan harga diumumkan di bawah Rp1 bilion (sekitar RM300,000).
Menurut HPM, kehadiran Prelude menandakan langkah penting Honda dalam memperluaskan penawaran kenderaan sport berteknologi hibrid di rantau ini, selain memperkukuh hala tuju jenama tersebut dalam era elektrifikasi.

Pengarah Jualan, Pemasaran dan Selepas Jualan HPM, Yusak Billy berkata, Prelude berperanan sebagai model perintis bagi barisan kenderaan elektrifikasi Honda di Indonesia.
“Melalui Prelude, kami mahu memperkenalkan sebuah kereta sport hibrid yang masih mengekalkan DNA Honda – menyeronokkan untuk dipandu dan responsif,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Prelude bukan sekadar menghidupkan semula nama lama. Sebaliknya, ia bermula sebagai projek pembangunan kereta sport hibrid generasi baharu untuk masa depan.
Namun, apabila karakter dan falsafah pemanduannya terbentuk, Honda mendapati ia sangat seiring dengan identiti Prelude yang dikenali sebelum ini, lalu nama tersebut dipilih semula.
Untuk rekod, Honda Prelude pertama kali diperkenalkan pada tahun 1979 dan melalui lima generasi sebelum pengeluarannya dihentikan pada awal tahun 2000-an.
Kini, ia kembali sebagai generasi keenam dengan pendekatan teknologi hibrid dan reka bentuk lebih sporty.
Model terbaharu ini dilengkapi sistem Honda S+ Shift, manakala platformnya dibangunkan berasaskan Civic Type R. Talaannya memberi penekanan kepada keseimbangan berat, kestabilan serta kawalan pemanduan yang lebih tajam.
Tempoh pra-tempahan rasmi dibuka bermula 23 Januari 2026 melalui pengedar Honda terpilih di Indonesia.
Prelude akan ditawarkan dalam jumlah terhad, hanya dalam satu varian, dengan empat pilihan warna iaitu Moonlit White Pearl, Rallye Red, Crystal Black Pearl dan Racing Blue Pearl.
Penghantaran kepada pelanggan dijadualkan bermula pada Mei 2026 dan akan dilakukan secara berperingkat.







