JUALAN EMGRAND LEBIH 3.8 JUTA UNIT, SEJARAH BERMULA BERBELAS TAHUN LALU!
Penawaran Proton S70 menerima sambutan baik dari pengguna tempatan. S70 merupakan model keempat yang dijenamakan dan diubah dari model asal Geely.
Walaupun begitu, PROTON telah melakukan banyak kerja-kerja kejuruteraan dan terdapat ciri-ciri S70 yang tiada pada Geely Emgrand.
Projek S70 melibatkan 453 pembangunan perkakasan baharu dan 260,000 jam manusia dengan penalaan pemanduan dan pengendalian sahaja memakan masa 75,000 jam manusia.
Sejarah Emgrand bermula belasan tahun lalu. Satu yang menarik, Emgrand bermula sebagai jenama khusus di bawah Geely dan model pertama EC7 dilancar pada 2009.
Satu lagi yang menarik, EC7 menggunakan enjin yang dibekalkan Mitsubishi. Emgrand di pasaran sekarang dari generasi keempat dan dilancar di China pada 2021.
Berbekalkan usia berbelas tahun, Geely Auto mengumumkan jualan Emgrand yang juga sedan popular syarikat telah mencecah 3.86 juta unit di peringkat dunia.
Emgrand adalah lambang kepada hasrat Geely yang mahu merekabentuk dan menghasilkan kereta bernilai tinggi yang dikehendaki pasaran.
Pada masa sekarang, Emgrand berada di 20 negara dan wilayah di serata dunia.
Sejak model pertama dikeluarkan pada 2007, Emgrand hadir dengan pelbagai teknologi rangkaian kuasa seperti hibrid plug-in, elektrik bateri dan juga penggunaan metanol.
Menyelidiki setiap generasi Emgrand boleh dilihat bagaimana Geely mengembangkan cita-citanya dan memacu inovasi.
Boyue dan Binyue model penting namun Emgrand memainkan peranan besar dan berjasa buat Geely.
Generasi terdahulu Emgrand hadir sebagai sebuah model umum dan generasi keempat direka sebagai model global bernilai tinggi yang memenuhi trend semasa.
Emgrand generasi keempat dibina dari pelantar BMA yang dibangunkan sendiri oleh Geely dan mempamerkan keupayaan syarikat di peringkat antarabangsa.
Berdasarkan data jualan, Emgrand menduduki tangga pertama sedan kelas A China di Arab Saudi dan satu daripada sedan terlaris di Filipina, Emiriyah Arab Bersatu dan Kazakhstan.
Pada tahun 2023, Geely Auto International berjaya menjual lebih 22,729 Emgrand di peringkat antarabangsa (tidak termasuk China) atau lonjakan 182 peratus berbanding 2022.