" "
Buletin

KERETA KONSEP HONDA HP-X KEMBALI! LEBIH AWAL DARIPADA NSX

Sejarah 40 tahun lalu ditonjolkan kembali melalui HP-X, model konsep pertama Honda dan hasil rekaan dan buatan tangan Pininfarina.

Kereta itu dibawa ke Monterey Car Week 2024 dan penampilan umum pertama sejak 1984 dan dipertontonkan pada Turin Auto Show.

HP-X atau Honda Pininfarina eXperimental dengan bentuk baji radikal dibuat sebelum pembangunan NSX generasi pertama.

Untuk kembali menjadi tontonan umum, HP-X Concept dibawa pulang ke bengkel Pininfarina bagi menjalani kerja-kerja baik pulih. 

Dari segi reka bentuk, HP-X jelas bermain dengan aerodinamik termasuk kesan bumi (ground effects) dan kaedah penyejukan inovatif untuk enjin 2.0 liter V6 pemasangan tengah yang diasaskan dari enjin lumba Honda F2.

HP-X memiliki ukuran panjang 4,160 milimeter (mm), lebar 1,780 mm dan tinggi 1,110 mm.

Garis badan tepi tidak menyembunyikan hendal pintu kerana tidak wujud. Bumbung kereta dibuat futuristik dengan gaya jet pejuang dan dibuat dari perspeks.

HP-X turut menggunakan bahan canggih lain seperti panel sarang lebah, gentian karbon dan kevlar bagi mengurangkan berat dan meningkatkan prestasi.

Bahagian dalam kereta menyediakan keselesaan optimum buat pemandu dan penumpang hasil kajian mendalam mengenai ergonomik, kefungsian dan gayaan.

Bahagian dalam turut canggih dengan dua skrin. Bahagian pemandu memaparkan maklumat seperti kelajuan, tahap bahan api, tekanan minyak dan pelbagai lagi.

Sebuah lagi skrin memaparkan peta jalan dan menariknya kemungkinan terdapat halangan melalui sonar khas bagi membantu ketika meletakkan kenderaan terutama sekali dalam keadaan penglihatan yang lemah.

Sistem yang dibangunkan Honda itu dipanggil Sistem Bantuan Pemanduan Elektronik.

HP-X Concept menjadi pentas ujian untuk idea baharu, teknologi dan prinsip kejuruteraan yang kemudiannya diguna pada model Honda dan Acura termasuk NSX yang muncul pada 1989.

Direka dan dibangunkan di Jepun, NSX generasi pertama menggunakan sejumlah idea dan inovasi yang diterokai buat kali pertama pada HP-X.

Kereta produksi jarang dibuat seperti model konsep dan walaupun begitu pengaruh dan sejarah HP-X memang jelas pada NSX atau New Sportscar eXperimental.

Google ads
Back to top button