
“JURANG MASIH BESAR!” – BOS GWM AKUI INDUSTRI AUTO CHINA BELUM SETANDING JERMAN DAN JEPUN
Pengerusi Great Wall Motor, Wei Jianjun mengingatkan bahawa industri automotif China masih belum setanding sepenuhnya dengan pengeluar kereta terkemuka dunia, walaupun skala pengeluaran dan eksport negara itu terus berkembang pesat menjelang 2026.
Menurut laporan media automotif China, kenyataan itu disampaikan Wei ketika perhimpunan tahunan syarikat pada awal Februari lalu.
Beliau menegaskan bahawa jurang antara pengeluar China dan pemain global utama masih “sangat besar”, dan syarikat tempatan tidak seharusnya terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaian semasa.
Walaupun jenama China semakin agresif menembusi pasaran antarabangsa serta menguasai bahagian pasaran domestik, Wei berkata syarikat-syarikat tempatan – termasuk GWM sendiri – perlu bersikap realistik terhadap tahap daya saing sebenar mereka.

Beliau turut membandingkan kelebihan pengeluar dari Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang mempunyai pengalaman pembuatan serta kepakaran teknikal lebih mendalam.
Dalam ucapannya, Wei menekankan kepentingan pembelajaran berterusan daripada rantau automotif mapan ini serta keperluan melakukan penilaian dalaman bagi mengenal pasti kelemahan dan menambah baik kualiti produk.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada pendekatan Toyota dalam mengurus isu kualiti. Menurutnya, walaupun Toyota kerap melakukan panggilan balik (recall), kepercayaan pelanggan tetap kukuh kerana syarikat itu bertindak proaktif, telus dan jelas dalam komunikasi pembaikan kepada pengguna.
Dalam masa sama, Wei turut menyentuh risiko persaingan harga yang semakin sengit di China. Beliau memberi amaran bahawa strategi potongan harga melampau boleh menjejaskan kelestarian industri sekiranya tidak disokong asas perniagaan yang kukuh serta kualiti produk yang konsisten.
Di peringkat global pula, beliau mengakui eksport kenderaan China meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, strategi pengembangan luar negara masih banyak bergantung kepada kelebihan harga. Jika pendekatan itu berterusan tanpa pembinaan jenama yang kukuh, ia berpotensi menghadkan perkembangan jangka panjang di pasaran antarabangsa.
Dari segi prestasi, Great Wall Motor merekodkan jualan global sebanyak 1.3237 juta unit pada 2025, termasuk 403,700 unit kenderaan tenaga baharu (NEV) dan 506,100 unit penghantaran ke luar negara.
Syarikat itu turut melaporkan hasil tahunan sebanyak AS$30.77 bilion (kira-kira RM145 bilion) serta keuntungan bersih AS$1.37 bilion (sekitar RM6.5 bilion) berdasarkan laporan kewangan awal 2026.
Kenderaan tenaga baharu menyumbang kira-kira 30 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan GWM, manakala selebihnya masih terdiri daripada model petrol dan hibrid.
Berbeza dengan BYD, yang telah beralih sepenuhnya kepada pengeluaran kenderaan tenaga baharu dan menamatkan jualan model enjin pembakaran dalaman sepenuhnya sejak beberapa tahun lalu.
Wei menegaskan bahawa fokus utama syarikat dan keseluruhan industri harus kekal pada peningkatan kualiti produk, pembangunan teknologi serta daya saing jangka panjang, terutama ketika pengeluaran dan eksport kenderaan China terus meningkat pada tahun ini.









