Buletin

CHINA LARANG PEMEGANG PINTU KERETA TERSEMBUNYI BERMULA TAHUN DEPAN

China melarang penggunaan pemegang pintu kereta tersembunyi bagi semua kenderaan yang dijual di negara itu mulai tahun depan, menamatkan trend reka bentuk minimalis yang dipopularkan oleh Tesla atas alasan keselamatan.

Peraturan baharu yang diumumkan oleh Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China pada Isnin, akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027, dan mewajibkan setiap pintu kereta mempunyai mekanisme pembuka pintu dalaman dan luaran.

Model kereta China yang sudah diluluskan untuk dilancarkan akan diberikan tempoh tambahan dua tahun untuk mematuhi peraturan baharu itu.

Menurut kementerian, langkah itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan reka bentuk automotif.

Isu keselamatan semakin mendapat perhatian di China berikutan pintu kereta aerodinamik yang licin dan mesra angin, yang gagal berfungsi semasa kemalangan.

Ia rentetan satu insiden berlaku pada Oktober lalu, apabila pasukan penyelamat gagal membuka pintu sebuah kenderaan elektrik Xiaomi yang terbakar di Chengdu.

Pemandu kenderaan tersebut dilaporkan berada di bawah pengaruh alkohol dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Peraturan baharu itu turut menyatakan semua pintu, kecuali pintu belakang, perlu dilengkapi dengan pemegang pintu mekanikal luaran.

China merupakan pasaran kenderaan elektrik (EV) terbesar di dunia, dengan banyak jenama tempatan kini mengembangkan operasi ke luar negara.

Statistik bulan lalu menunjukkan firma seperti BYD, menjual lebih banyak produk EV berbanding Tesla pada tahun lalu, sekali gus menyaingi peneraju industri AS dalam kategori tahunan untuk pertama kali. – Buletin TV3

Google ads
Back to top button