Buletin

KAWASAKI BAKAL BINA PESAWAT KARGO TANPA PEMANDU

Kawasaki memang terkenal dengan kepelbagaian produk, daripada motosikal lasak, ATV utiliti, hingga jentera sport dengan enjin supercaj.

Malah, syarikat Jepun itu juga pernah menghasilkan dron berkuasa enjin motosikal. Namun, langkah terbarunya tetap mengejutkan ramai pemerhati industri kerana ia melibatkan bidang pesawat kargo autonomi.

Kerjasama ini dimeterai bersama syarikat pemula Bulgaria, Dronamics, yang dikenali dengan pesawat kargo Black Swan.

Menurut laporan Aviation International News, Kawasaki Motors kini sedang membangunkan enjin piston khas untuk pesawat itu. Perjanjian yang diumumkan pada 18 September lalu meliputi aspek penyelidikan, pembangunan, integrasi serta ujian bersama.

Black Swan direka dengan fleksibiliti untuk menggunakan pelbagai jenis enjin. Walaupun konfigurasi asal menggunakan enjin Rotax, ia boleh dipadankan dengan unit kuasa lain, termasuk enjin Kawasaki yang dipercayai berasaskan teknologi H2 supercaj.

Pesawat ini mampu membawa muatan sehingga 770 paun (sekitar 349kg) dengan jarak operasi sejauh 1,359 batu nautika (2,518km), menjadikannya sesuai untuk kegunaan komersial seperti penghantaran barangan.

Pengarah Eksekutif Kanan Kawasaki bagi Kumpulan Sistem Penerbangan, Hiroshi Tomomori, menyifatkan kerjasama tersebut sebagai langkah penting dalam usaha syarikat mengukuhkan inovasi aeroangkasa.

Katanya, kepakaran Kawasaki dalam pembangunan enjin digabungkan dengan teknologi UAV daripada Dronamics mampu melahirkan sistem pendorongan baharu untuk pesawat tanpa pemandu.

Dengan langkah ini, Kawasaki sekali lagi membuktikan bahawa jenamanya tidak hanya terhad kepada motosikal berprestasi tinggi, tetapi juga serius dalam meneroka mobiliti masa depan.

Google ads
Back to top button