Motosikal

DNA KAWASAKI SUGOMI TERSERLAH PADA SUPERMOPED MODENAS

Kami mengikuti perkembangan supermoped 150cc dari MODENAS dengan rapat sekali sejak MODENAS dan Kawasaki menjalinkan kerjasama erat.

Bermula sebagai khabar angin sehinggalah ke prototaip sebenar dilahirkan, perkembangan mengenai motosikal terbaru dari MODENAS itu sentiasa mencuri perhatian.

Terbaru, kami telah pun dijemput ke kilang MODENAS di Gurun, Kedah bagi menjadi antara media terawal yang dapat melihat dan menyentuh produk terbaru yang sudah lama dinantikan itu.

Namun begitu, memandangkan pelancaran rasmi dijadualkan pada bulan 10 nanti kami dilarang mendedahkan info terperinci mengenai supermoped berkenaan.

Begitupun, pihak MODENAS membenarkan kami untuk menerbitkan gambar dan maklumat melibatkan reka bentuk lampu hadapan dan lampu belakang supermoped terlebih dahulu. Menariknya, reka bentuk lampu sahaja jelas menampakkan DNA Sugomi yang dibanggakan Kawasaki.

Untuk rekod, Sugomi merujuk kepada falsafah rekaan yang diterapkan Kawasaki pada model “Z” yang menyifatkan aura berkuasa, menakutkan atau garang dan perasaan kagum.

Lampu hadapan memuatkan dua lampu LED dengan DRL (daytime running light) di bahagian panel bawah sementara di bahagian atas pula menempatkan reka bentuk seakan corong Ram-Air yang terdapat pada motosikal Kawasaki Ninja ZX-25R dan ZX-6R.

Menariknya, lampu utama di bahagian kepala dan lampu belakang seakan diilhamkan dari reka bentuk yang terdapat pada Kawasaki Z500.

Untuk makluman, elemen Sugomi yang diguna pakai Kawasaki pada barisan model Z tidak terhad pada bahagian lampu sahaja namun maklumat tersebut akan dikongsikan pada kemudian hari.

Google ads
Back to top button