Motosikal

MODENAS KARISMA 125 EX POPULAR DI FILIPINA, SASAR EKSPORT 14,000 UNIT

MODENAS mencapai satu penanda aras terbaru bagi pasaran antarabangsa selepas berjaya menembusi pasaran motosikal Filipina menerusi Karisma 125 EX.

Dijenamakan semula sebagai Brusky 125, skuter kompak bersesaran 125cc itu berjaya mencapai populariti dalam tempoh singkat. Setakat 2024, sebanyak 4,522 unit telah pun dieksport ke sana menerusi Kawasaki Motors Philippines Corporation (KMPC).

Lebih menarik, MODENAS mensasarkan 14,000 unit dieksport ke Filipina pada penghujung tahun 2025 sekaligus menandakan permintaan signifikan skuter berkenaan di sana.

Untuk rekod, kesemua Brusky 125 dikilangkan sepenuhnya di kilang MODENAS yang terletak di Gurun, Kedah. Kilang tersebut yang kini membariskan lapan barisan pemasangan (assembly line) yang berupaya menghasilkan lebih 120,000 unit setahun.

Dalam pada itu, MODENAS juga bakal memperkembang tawaran model di Filipina menerusi Nimbus 110 yang dikenali sebagia Kriss 110 di Malaysia.

Bercakap kepada media, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan memaklumkan bahawa terdapat perancangan untuk turut mengeksport supermoped 150cc ke pasaran Filipina dalam tempoh setahun dua lagi.

Google ads
Back to top button