
MODENAS LANCAR KAWASAKI KLX 230 SEPTEMBER INI
Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), akan melancarkan Kawasaki KLX 230 untuk pasaran tempatan pada bulan September ini.
Sebelum ini kami telah pun melaporkan bahawa KLX 230 sah masuk Malaysia tahun ini dan berdasarkan perkembangan terbaru, kami difahamkan bahawa MODENAS akan melancarkan model baharu itu bulan depan.

Menariknya, beberapa media tempatan akan berpeluang merasai kemampuan KLX 230 itu menyelusuri laluan ‘off-road’ sepanjang 150 kilometer di Pahang.

Untuk rekod, Kawasaki menawarkan tujuh varian untuk pasaran global namun kami jangkakan hanya dua varian ditawarkan di sini merangkumi KLX 230 S (dual-sport) dan KLX 230 SM (supermoto). Kami difahamkan bahawa KLX 230 ini adalah model pemasangan tempatan (CKD).

Ketika debut global tahun lalu, KLX 230 ini menerima naik taraf yang signifikan termasuk njin baharu, reka bentuk baharu serta fungsi ABS yang boleh dipadamkan.
Namun begitu, naik taraf terbesar melibatkan bahagian casis yang telah direka semula bagi varian S dan SM. Hasilnya, model keluaran 2024 ini menawarkan jarak gerak suspensi depan dan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi.

Atas kertas, KLX 230 dipacu enjin satu silinder 233cc SOHC dengan sistem penyejukan udara yang berupaya menjana 19.7hp pada 8,000rpm dan 17.9Nm pada 6,000rpm.







