Artikel Pilihan

KEAJAIBAN MASA SILAM – MERCEDES BENZ CLK GTR!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan perihal sebuah jentera yang pernah menggegarkan dunia Automotif pada suatu ketika dahulu. Jentera tersebut adalah sebuah Mercedes Benz CLK GTR.

Jentera ini asalnya dibina untuk satu tujuan. Iaitu memenangi perlumbaan FIA GT Championship kelas GT1 pada tahun 1997. Bukan bertanding ye, tetapi untuk menang. Berikut merupakan pesaing-pesaing ketika berentap di dalam kelas GT1

  • McLaren F1 GTR
  • Panoz GTR-1
  • Porsche 911 GT1
  • Porsche 911 GT1 Evo
  • Lotus GT1
  • Lister Storm GTL
  • Venturi 600LM
  • SARD MC8-R

Bukan biasa biasa saingannya. Dipendekkan cerita, mereka menang bagi kategori pasukan dan juga pemandu. Pemandu mereka pada ketika itu ialah Bernd Schneider.

Sekarang saya nak menceritakan perihal versi “Road Car” Mercedes Benz CLk GTR ini.

Tidak seperti jentera-jentera lain dimana mereka membuat “Road Car” terlebih dahulu sebelum memasuki mana-mana kejohanan, pihak Mercedes Benz membuat “Race Car” dahulu sebelum membuat “Road Car” atas tujuan homolagasi bagi mematuhi peraturan kejohanan.

Secara asasnya, jentera ini merupakan sebuah “Race Car” yang ditambah dengan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan bagi membolehkan ia sah dipandu di atas jalan.

Jentera ini juga dikenali dengan kod chassis W297. Ia dibuat pada tahun 1998 sehingga 1999. Tak lama. Setahun sahaja. Kenapa ? Hal ini disebabkan pihak Mercedes Benz hanya mengeluarkan unit yang sangat terhad untuk dipasarkan. Cukup-cukup untuk memenuhi kriteria syarat homoglasi.

Apa yang membezakan jentera ini dengan “Race Car” yang digunakan di dalam FIA GT Championship adalah penambahan unit penghawa dingin, unit papan pemuka disaluti dengan kulit, ruang simpanan barang, ABS serta “Traction Control” dan yang terakhir ialah GT Wing. Yang lain semua sama.

Jentera ini dibangunkan oleh divisyen AMG di Affalterbach bersama-sama dengan H.W.A AG. HWA. AG merupakan firma automotif yang fokus dalam pembangunan kereta perlumbaan serta alat ganti bagi jentera-jentera Mercedes Benz. Jangan ingat Mercedes Benz hanya ada AMG, Maybach dan Brabus sahaja. Mereka ada HWA AG juga.

Sekarang kita pergi pada enjin.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin berkod M297 V12 Naturally Aspirated. Enjin ini bersesaran 6,898cc (6.9L) yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 603hp pada 6,800rpm dan daya kilas sekuat 775Nm pada 5,250rpm.

Lagi kuat dan lagi besar sesarannya daripada enjin yang diletakkan pada “Race Car” yang bertanding pada FIA GT Championship. Enjin ini dibangunkan atas usahasama pihak Mercedes Benz AMG, H.W.A AG dan Ilmor Engineering.

Siapa Ilmor Engineering ni ?

Ilmor Engineering merupakan satu firma pembuatan enjin yang berpengalaman membuat serta menala enjin untuk kegunaan Indy Car serta Formula One. Jadi tak usah gusar akan kualiti enjin ini.

Kuasa yang dihamburkan oleh enjin ini seterusnya disalurkan ke kotak gear 6 kelajuan “Sequential Manual”. Fuhh.

Enjin mantap, kotak gear pun mantap.

Hasilnya, jentera ini mampu memecut dari 0-100km/h dalam hanya 3.8 saat dan kelajuan tertinggi pada 344km/h. Laju woi ! Ni tahun 1998! Bukan 2020!

Apa lagi yang istimewa ?

Jentera ini mempunyai “Layout” Rear Mid Engine dengan pacuan roda belakang! Enjin di belakang ye Tuan-Tuan. Mana lagi nak jumpa Mercedes Benz yang ada enjin di belakang? Ini lah satu-satunya. Ini yang menjadikan ia sangat istimewa.

Lagi satu, sentiasa ingat bahawa jentera ini bukanlah sebuah jentera jinak. Dengan 603hp dan daya kilas sekuat 775Nm disalurkan hanya kepada tayar belakang, terbersin ketika kaki di pedal minyak hanya akan mengakibatkan kemusnahan.

Produksi jentera ini diagihkan melalui pembuatan model Coupe, Roadster dan Prototaip.

Bagi model Prototaip, 2 unit dihasilkan dan tiada sebarang “Serial Number” diletakkan pada jentera. Jentera ini boleh dikenali dengan nombor cesi WDBA2973971Y000001 dan WDBA2973971Y000002.

Bagi model Coupe pula, terdapat 20 unit dihasilkan dan dilengkapi dengan nombor siri bermula 01/25 sehingga 20/25.

Bagi model Roadster pula, 6 unit dihasilkan. Nombor siri bermula pada 21/25 sehingga 25/25.

Ada yang pelik bukan ? Kenapa Roadster 5 unit sahaja ? Bukan 6 ke ?

Ceritanya begini, di dalam semua produksi ini, pihak Mercedes Benz menerima tempahan khas untuk membuat versi pemanduan sebelah kanan bagi unit Coupe dan Roadster.

Pemiliknya tidak lain dan tidak bukan ialah Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah Sultan bagi Negara Brunei Darussalam.

Jentera ini juga memecahkan rekod dunia ketika itu apabila dinobatkan sebagai jentera produksi paling mahal pernah dibuat dengan harga USD1,547,620. Mahal ! Sekarang lagi lah mahal harganya.

Jadi Tuan-Tuan, inilah dia sebuah jentera yang ada duit pun belum tentu boleh beli.

Maaf saya katakan, jika sekarang jentera ini diletakkan bersebelahan Lamborghini Aventador dan Ferrari 488 GTB, ia masih menarik perhatian bahkan memalukan kedua-dua jentera ini. Terhad dan mahal. Hanya untuk “mereka”.

Google ads
Back to top button