Artikel Pilihan

KERETA SPORT YANG PELIK – PEUGEOT OXIA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Bila cerita pasal Peugeout, rasanya ramai rakyat Malaysia kenal firma Automotif dari Perancis ini melalui filem Taxi 1 hingga Taxi 4 yang dikeluarkan pada tahun 1998 sehingga 2007.

Mana taknya, model Peugeot 406 dan 407 yang dimodifikasi secara ekstrem sehingga mampu memberi “high beam” kepada jentera Rally, memotong Ducati 916, memalukan Mitsubishi Lancer Evolution serta boleh terbang. Ada sayap beb.

Tapi bukan pasal filem ini yang kita nak kupas, akan tetapi tentang jentera konsep yang dihasilkan ketika zaman kegemilangan Peugeot iaitu pada 80-an. Waktu ini, nama Peugeot sangat kuat apabila mendominasi acara World Rally Championship, Rally Dakar, Pikes Peak International Hill Climb dan memecah rekod jentera paling laju di dunia melalui jentera WM P88 Peugeot dengan kelajuan 407km/h.

Jentera konsep yang saya sebutkan ini adalah Peugeot Ovia. Walaupun namanya pelik, sebenarnya nama ini diambil sempena nama satu “Spot” di planet Marikh. Jentera ini melakukan debut pertamanya di Paris Motor Show pada tahun 1988.

Jentera ini jika dilihat mempunyai rekaan yang mendahului zaman. Sangat futuristik tetapi tidak berlebihan. Sedap mata memandang. Mana tidaknya, kumpulan pereka Peugeot Oxia ini diketuai oleh Mr. Gerard Walter yang juga bertanggungjawab di dalam pembangunan jentera WM P88 Peugeot.

Antara ciri yang menarik perhatian adalah material cesi serta badan jentera ini yang menggunakan gabungan “Carbon Fibre”, “Kevlar” dan struktur Alumunium. Gabungan ini bukan sahaja kuat, tetapi sangat ringan dimana berat total cesi jentera ini hanyalah sekitar 81.6kg sahaja.

Cesi ini kemudiannya dipadankan bersama unit “Subframe” depan dan belakang yang menempatkan sistem suspensi jenis “Double Wishbone”. Ia juga menempatkan “Limited Slip Differential” pada bahagian hadapan dan belakang. Kereta ni olwil (AWD) ye Tuan-Tuan.

Bukan sahaja pacuan semua roda, sistem pengendalian juga dipacu oleh semua roda. Hal ini kerana pihak Peugeot memasang sistem “Four-Wheel Steering” pada jentera ini sekaligus memberikan pengendalian yang sangat mantap.

Seterusnya kita pergi pada jantung jentera ini.

Jentera ini dijana oleh enjin PRV V6 Twin Turbo yang bersesaran 2,849cc (2.9L). Enjin ini diletakkan di tengah-tengah jentera bertujuan untuk memberikan kestabilan serta nisbah berat yang seimbang.

Enjin ini mampu menjana kuasa sebanyak 680bhp pada 8,200rpm dan daya kilas sekuat 720Nm pada 4,500rpm. Fuhh. Gila kuat. Kuasa yang dihamburkan ini kemudiannya dihantar ke kotak gear manual 6-kelajuan.

Tak guna kuat diatas kertas sahaja. Perlulah dibuktikan di trek. Jentera ini diuji di trek Nardo oleh Pemandu Uji Michelin iaitu Mr Jean-Philippe Vittecocq.

Hasilnya sangat mengujakan sehingga pihak Peugeot sendiri terkejut. Jentera ini mampu mencapai kelajuan tertinggi sehingga 350km/h. Pihak Peugeot hanya menjangkakan kelajuan tertinggi sekitar 300km/h sahaja. Pecutan dari 0-100km/h pula adalah sekitar 3.6 saat.

Angka-angka ini sangat hebat dan resipi utama dalam mancapai tahap seperti ini adalah “Power to Weight Ratio”. Jentera ini mempunyai kuasa sebanyak 680bhp dan berat jentera ini hanyalah 1,374kg. Oleh itu, jumlah “Power to Weight Ratio” adalah bersamaan 0.5hp per Kg.

Jentera ini bukan sahaja laju dan mempunyai pengendalian yang mantap, namun ia juga mempunyai ciri-ciri mewah lain seperti set audio berkualiti tinggi, kemasan dalaman kulit serta ciri-ciri elektronik moden.

Lebih menarik, ia juga mempunyai panel solar khusus untuk menjana sistem penghawa dingin ketika jentera tidak dihidupkan. Selain itu, ia juga mempunyai sistem “Tyre Pressure Monitoring” yang berfungsi untuk memberi tahu pemandu keadaan tayar semasa. Harus diingat, semua fungsi ini dibuat ketika 32 tahun lepas ye Tuan-Tuan.

Jentera ini sepatutnya menjadi pesaing utama Ferrari F40, Porsche 958 dan juga Bugatti EB110. Namun, apakan daya apabila ketika itu permintaan untuk jentera sebegini rupa tidak banyak. Ditambah pula dengan tanda harga yang agak tinggi, jentera ini tidak diproduksikan. Hanya dua unit dibina dan kos pembinaan jentera ini adalah sekitar 8 Juta French Franc (sekitar RM6 juta sebelum inflasi). Mahal oi !

Akhir kata, sekiranya jentera ini diproduksikan, semestinya ia mampu mengubah landskap Automotif dunia dan perspektif orang ramai terhadap Peugeot juga semestinya lain. Walau bagaimanapun, kredit patut diberikan kepada Peugeot kerana mereka mampu untuk menghasilkan jentera sebegini rupa.

Google ads
Back to top button