Buletin

KEMALANGAN MENGAKIBATKAN KEMATIAN BAYI DALAM KANDUNGAN – ANTHONY LOKE ARAH JPJ DAN APAD AMBIL TINDAKAN SEGERA

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu kenyataan di laman Facebook, meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil tindakan terhadap pemandu serta syarikat pengangkutan yang mengakibatkan kematian bayi dalam kandungan.

Kejadian tersebut berlaku pada pukul 10.45 pagi di laluan Gerik-Jeli, Kelantan pada 29 Oktober lalu, ketika pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang selepas menziarahi saudara di Kuala Krai.

Wanita yang sedang hamil 34 minggu itu, telah kehilangan bayi dalam kandungan selepas sebahagian kargo terhumban dari sebuah lori lebih muatan hingga menimpa kenderaan dinaiki.

Ding Sheng Koh, suami mangsa, meluahkan perkara itu di Facebook berkata, kejadian terbabit boleh dielakkan sekiranya syarikat dan pemandu lori mematuhi peraturan.

“Saya tidak dapat memaafkan kamu semua. Sehingga hari ini, tiada pihak yang menghubungi untuk meminta maaf atau bertanya khabar. Kejadian ini memusnahkan keluarga saya, setiap hari saya melihat isteri menangis melihat luka pada badan dan melihat gambar anak kami.”

Anthony Loke juga mengatakan bahawa permit operasi syarikat tersebut akan digantung sehingga audit ke atas semua lori syarikat tersebut diluluskan.

“Saya tidak akan berkompromi dengan pemandu dan syarikat… (yang telah) membahayakan orang ramai di jalan raya,” katanya.

Anthony Loke turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang kehilangan anak sulung, dijangka dilahirkan dalam beberapa minggu lagi. – The Star

Google ads
Back to top button