Buletin

KEMALANGAN MAUT DI TANJONG PAGAR. KELUARGA MANGSA TUNTUT RM5.6 JUTA DARIPADA KELUARGA PEMANDU

Keluarga dari tiga lelaki yang terbunuh dalam kemalangan nahas di Tanjong Pagar, Singapura telah memfailkan tuntutan kira-kira A$1.2 juta (RM5.6 juta) daripada pemandu.

Tuntutan tersebut dibuat oleh saudara-mara Eugene Yap Zheng Min, Teo Qi Xiang dan Gary Wong Hong Chieh di Mahkamah Tinggi pada 11 November 2022. Surat tuntutan ke atas harta pusaka pemandu telah dihantar kepada ibunya, Chan Ngerng Pheng, 58, pada 2021.

Tiga pihak yang menuntut diwakili oleh Goh Choon Wah dari firma guaman Characterist LLC.

Pada 13 Feb 2021, kira-kira jam 5.40 pagi, Yap, 29, Teo, 26, Wong, 29, dan penumpang keempat, Elvin Tan Yong Hao, 28, menaiki BMW M4 putih yang dipandu Jonathan Long Junwei, 29, merempuh sebuah rumah kedai lalu terbakar hingga menyebabkan semua lima lelaki di dalam kereta terbunuh.

Tunang kepada Long Junwei, Raybe Oh Siew Huey, 26, melecur teruk ketika cuba menyelamatkan mangsa di dalam kereta.

Chan Ngern Pheng, yang merupakan pentadbir harta pusaka anaknya, memberitahu dia menerima penyata tuntutan pada 14 November. Penanggung insurans kenderaan, AXA Singapore turut dimaklumkan mengenai tuntutan itu.

Bagaimanapun, AXA yang diwakili oleh K. Anparasan dan Grace Tan dari Whitefern LLC, menolak liabiliti di bawah polisi untuk sebarang tuntutan daripada kemalangan itu.

Ini selepas siasatan dilakukan pada Jun menunjukkan Long memandu di bawah pengaruh alkohol.

Di bawah Akta Kenderaan Bermotor (Risiko dan Pampasan Pihak Ketiga) 1960, AXA masih bertanggungjawab untuk membayar pihak yang menuntut untuk kos penghakiman.

Syarikat insurans kemudiannya hanya akan mendapatkan semula jumlah wang daripada harta pusaka pemandu.

Ibu kepada Yap, menuntut sebanyak AS$619,953 (RM2.8 juta) kerana hilang sumber pendapatan hasil sumbangan daripada Yap. Ia termasuk tuntutan bagi pihak adik Yap, Edmund.

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa Edmund Yap, kini berusia 30 tahun, pernah menerima sejumlah AS$362 (RM1,659) sebulan daripada Yap.

Tuntutan yang difailkan oleh ibu Yap menyatakan bahawa jika Eugene Yap masih hidup, dia akan terus menyara adiknya dari segi kewangan.

Tuntutan lain termasuk perbelanjaan pengebumian serta jam tangan Rolex yang rosak bernilai kira-kira AS$17,512 (RM78,427), akibat kemalangan tersebut.

Semasa siasatan dijalankan, kumpulan rakan itu didapati bergilir-gilir memandu BMW yang baru dibeli oleh Long di sekitar kawasan Tanjong Pagar.

Mereka semua memandu di bawah pengaruh alkohol. Namun, Long, merupakan pemandu keempat yang mempunyai bacaan alkohol dalam darah sebanyak 86mg setiap 100ml.

Dengan angka tersebut, ia telah melanggar had undang-undang iaitu 80mg alkohol dalam darah dari setiap 100ml. Walau bagaimanapun, bacaan alkohol Long paling rendah antara mereka berlima.

Long didakwa memecut di sepanjang Jalan Tanjong Pagar sebelum kereta itu terbabas lalu melanggar tiang pada kelajuan sekitar 110km/j hingga 148km/j.

Ibu Teo menuntut kira-kira AS$315,415 (RM1.4 juta), manakala waris Wong menuntut hampir AS$290,036 (RM1.3 juta) termasuk AS$17,402 (RM79,570) bagi tujuan penjagaan anjing Wong.

Jurucakap AXA Insurance berkata, dia tidak dapat mengulas mengenai pelanggan atau perkara undang-undang dan sedang menilai semua tuntutan mengikut terma serta syarat polisi. – The Star

Google ads
Back to top button