Artikel Pilihan

KENAPA MCLAREN TERUS KEKAL MENGGUNAKAN SISTEM STERING BANTUAN HIDRAULIK?

Jika anda perasan, hampir semua kereta moden pada hari ini menggunakan sistem stering bantuan elektrik bagi menggantikan sistem stering bantuan kuasa hidraulik. Tapi bagi kebanyakan pemandu yang berpengalaman, sistem kuasa bantuan hidraulik lebih sedap untuk dipandu dan memberikan lebih feel jika dibandingkan dengan sistem elektrik

Saluran Youtube Engineering Explained yang dihoskan oleh Jason Fenske telah menemuramah salah seorang jurutera McLaren bagi mencari jawapan kepada isu ini. Berbeza dengan pengeluar supercar lain, McLaren komited untuk terus menggunakan sistem bantuan kuasa hidraulik berbanding dengan sistem elektrik

Pada hemat McLaren, sistem bantuan kuasa elektrik akan “menapis” semua gegaran daripada tayar dan permukaan jalan daripada sampai ke roda stering. Sistem stering bantuan kuasa elektrik atau singkatannya EPS adalah lebih ringkas, dengan satu motor elektrik membantu menjana tork pada rack pinion apabila diperlukan

Namun ia masih memerlukan sistem pengoperasian dan perisian yang rumit untuk beroperasi. Disebabkan perkakasan yang digunakan adalah ringkas, ia tidak merompak kuasa enjin untuk beroperasi seperti sistem hidraulik dan menjimatkan bahan api. Malah sistem ini juga boleh dibina dengan ciri Lane centering Assist.

Jurutera McLaren mendapati elektrik motor adalah berat, menjana inertia sewaktu kereta dipandu dan akan bertindak sebagai batu ladung (mass damper) yang akan menapis segala maklumat yang datang daripada tayar dan juga permukaan jalan.

Sistem hidraulik pula merupakan sistem bantuan dengan bantuan cecair hidraulik dengan pam yang dibuat daripada piston pada bahagian kiri dan kanan kereta. Apabila kereta mula membelok dalam satu arah kiri, cecair hidraulik akan berubah ke kanan menjadikan usaha untuk membelok terasa lebih ringan dan memberikan tindakbalas yang boleh dirasakan oleh pemandu pada roda stering

Malah pergerakan piston dalam pam hidraulik tadi adalah cepat bagi menjana tekanan hidraulik dalam sistem, lebih ringan berbanding motor elektrik, kurang inersia yang terhasil dan menjadikan pemandu merasakan respon stering adalah lebih pantas. Malah segala pergerakan tayar dengan permukaan jalan boleh dirasakan dengan cepat oleh pemandu

Pemandu yang agresif akan lebih sukakan komunikasi 2 hala antara input stering, respon cesi yang pantas dan permukaan jalan akan lebih menyukai sistem hidraulik berbanding dengan sistem elektrik. Bagi sistem yang digunakan oleh McLaren, ia dipanggil sebagai elecrtrohydraulic power steering

Ia menggabungkan motor elektrik yang lebih ringan dan kecil dengan sistem hidraulik, dimana tugas motor ialah menjana tekanan hidraulik dalam sistem bai menggantikan piston mekanikal. Jadi ia tidak menggunakan kuasa yang tinggi dan pada masa sama mengekalkan rasa mekanikal pada stering

Kelemahan sistem ini ialah ia tidak boleh menggabungkan sistem keselamatan terkini pada sistem seperti Lane Keep Assist dan juga Lane Centering Assist. Tapi bagi supercar seperti McLaren, fokus utama mereka ialah keseronokan memandu.

Google ads
Back to top button