
KERETA MEWAH PARKIR SESUKA HATI, PIHAK BERKUASA TAK BAGI MUKA!
London kini semakin tegas terhadap pemilik kereta mewah dari luar negara yang dilaporkan sering melanggar undang-undang lalu lintas dan parkir, sehingga menimbulkan kemarahan penduduk tempatan.
Fenomena “supercar tourism” yang sebelum ini menceriakan jalan-jalan utama kota itu kini berubah menjadi isu besar apabila segelintir pemilik enggan mematuhi peraturan.
Tahun lalu, lebih 60 kereta bernilai sekitar £6 juta (RM38 juta) dirampas menerusi operasi bersepadu melibatkan Metropolitan Police, Motor Insurance Bureau dan Majlis Bandaraya Westminster.
Antara model yang disita termasuk Bentley, Rolls-Royce, Ferrari, Lamborghini dan McLaren.

Namun tindakan itu tidak berakhir di situ. Terbaharu, Majlis Bandaraya Westminster melancarkan operasi baharu bagi mengekang parkir haram di sekitar hotel mewah Chancery Rosewood, lokasi penginapan eksklusif dengan kadar yang boleh mencecah sehingga £17,000 (RM106,000) semalam.
Kawasan ini dilaporkan sering menjadi “tempat selamba parkir” para tetamu berprofil tinggi.
Menurut laporan media United Kingdom, sebuah Rolls-Royce Phantom Coupe berplat Saudi antara kereta yang telah ditunda selepas didapati diletakkan di atas laluan pejalan kaki.
Ia bukan satu-satunya, beberapa model mewah lain termasuk Bentley, Ferrari, Lamborghini, Mercedes G-Class dan sebuah Jaguar E-Type klasik turut terlibat dalam kes yang sama.
Pihak berkuasa menjelaskan bahawa tindakan menarik kenderaan diperlukan kerana majoriti kereta tersebut berdaftar di luar negara, menjadikan peluang untuk mendapatkan kembali kos saman atau tunda hampir mustahil.
Tambahan pula, menurut jurucakap majlis, pemiliknya “terlalu kaya sehingga denda langsung tidak memberi kesan.”
Walaupun operasi terbaru ini mungkin hanya sekadar tamparan kecil kepada pemilik kenderaan terbabit, pihak berkuasa memberi bayangan bahawa tindakan lebih tegas boleh menyusul jika masalah ini terus berulang.








