
XPENG G6 2025, 10-80% 12 MINIT JE CAJ….
Rasanya baru tahun lepas penulis memandu uji Xpeng G6, namun Bermaz tidak duduk diam sahaja. Model baru yang telah dipertingkatkan dibawa masuk untuk memberi saingan kepada jenama lain dalam arena kereta elektrik.
XPeng G6 facelift ini bukan sekadar kemasan dan peningkataan kosmetik. Ia adalah bukti jelas bagaimana XPeng mula memahami kehendak pemandu sebenar terutama di pasaran luar China, bukan hanya kejar spesifikasi atas kertas. Dari luaran, platform, bateri sehinggalah rasa pemanduan, Xpeng G6 kini tampil sebagai EV yang jauh lebih seimbang dan memenuhi citarasa pemandu moden.
Dari segi rekaan luar, perubahan nampak kecil tapi menjadikan Xpeng G6 lebih matang. Logo “X” kini dialihkan ke posisi lebih tinggi, menjadikan wajah hadapan lebih kemas dan moden. Lampu LED Starlight Wing DRL memberi identiti yang lebih tajam dan bersambung diletakkan di posisi lama logo X.

Manakala bahagian ekor direka lebih kemas dan bersegi, nampak lebih lebar serta stabil. Rim pula kini menggunakan rekaan berbunga dua tona, menggantikan gaya tegak sebelum ini, dan kemasan wheel arch kini menggunakan warna sama dengan warna badan, menjadikan keseluruhan G6 lebih premium.
Di sebalik badan itu, XPeng G6 facelift dibina menggunakan platform SEPA 2.0, yang menjadi nadi utama kenapa kereta ini rasa berbeza. Platform ini mengetengahkan sistem 800V, digandingkan dengan suspensi double wishbone di roda hadapan dan multilink di roda belakang.
Otak kepada platform ini dipacu oleh cip NVIDIA Orin Driving Chip, yang bertindak mengawal motor elektrik, sistem kawalan kuasa bateri dan juga aspek keselamatan. Untuk varian dual motor Performance, tetapan 2 motor elektrik ini menjana 480 hp dan 660 Nm, satu angka yang bukan sekadar laju atas kertas, tetapi benar-benar terasa ketika memandu.

Aspek keselamatan pula menjadi antara kekuatan utama G6. Ia dilengkapi dengan 5 radar micromilimeter, 12 sensor ultrasonik dan 12 kamera resolusi tinggi, memberikan liputan hampir menyeluruh sekeliling kenderaan. Ini bukan sekadar untuk parkir atau amaran, tetapi menjadi asas kepada sistem ADAS XPilot 2.5 yang sangat aktif dan pintar.
Bateri yang digunakan ialah LFP berkapasiti 80.8 kWh, menggantikan bateri ion lithium pada model sebelum ini. Dengan tetapan 2 motor elektrik bagi varian Performance, Xpeng G6 2025 menawarkan jarak pemanduan 510 km WLTP yang boleh dicaj dengan menggunakan sistem AC 11kW atau DC 451kW.
Pengecasan AC 11 kW mengambil sekitar 9.2 jam dari 5 hingga 100%, manakala pengecasan DC mencapai sehingga 451 kW, membolehkan Xpeng G6 mengecaj dari 10% hingga 80% dalam sekitar 12 minit sahaja. Penukaran dari bateri NMC ke LFP memanjangkan jangkahayat bateri sebanyak 30%, menjadikan ia lebih sesuai untuk kegunaan jangka panjang.

Masuk ke dalam kabin, suasana jelas kelihatan lebih matang. Tema warna gelap yang menggantikan tema warna cerah memberikan rasa lebih eksklusif, manakala penggunaan corong penyaman udara manual sebenarnya satu langkah ke belakang yang baik, lebih senang untuk dilaras dan kurang bergantung pada skrin.
Pencahayaan kabin ditambah baik dengan pengenalan lampu kabin yang bercorak pada bahagian papan pemuka berbanding model lama yang kelihatan membosankan. Roda stereng juda direka semula agar lebih sedap dipandang, dan skrin infotainmen kini menjadi lebih besar pada 15.6 inci yang mengawal kebanyakan fungsi kenderaan.
XPeng juga menambahkan banyak ciri praktikal pada skrin seperti butang capaian pantas untuk tetapan kamera, radio dan pendingin hawa, suis tetapan lampu, cermin sisi dan juga kamera 360 darjah selain mod ciri Sleep Mode yang mungkin berguna untuk anda berehat sekejap sewaktu mengecaj.


Ciri YouTube dan kawalan suara yang responsif bagi mengawal tetapan penghawa dingin dan lain-lain fungsi fizikal yang ada pada kereta. Walaupun menggunakan cermin panaromic suria, bahang panas tidak terasa pada kepala dan leher penulis.
Ruang belakang pula cukup luas dengan tempat duduk boleh disandarkan, corong penyaman udara, poin mengecaj telefon, tempat meletak minum, dan ruang kargo menawarkan yang menawarkan ruang sebesar 571 liter. Ruang kargo iniboleh dikembangkan sehingga 1,374 liter apabila kusyen belakang dilipat
Dari segi pemanduan, Xpeng G6 facelift menunjukkan peningkatan ketara. Pekali seretan 0.248 yang terhasil daripada rekaan luar membantu mengurangkan bunyi angin dan meningkatkan kecekapan penggnaan tenaga.

Dalam pemanduan sebenar di lebuhraya, pada kelajuan sekitar 110 km/j, penggunaan tenaga adalah sekitar 17.3 kWh/100 km. Dengan jarak rasmi WLTP 510 km, selepas memandu 200 km, XPeng G6 masih lagi berbaki jarak pemanduanmasih sekitar 280 km. Ataupun kurang hanya sekitar 30 km berbanding angka rasmi, satu angka yang sangat munasabah untuk EV.
Pecutan 0–100 km/j direkodkan sekitar 4.13 saat, dengan kelajuan maksimum 202 km/j. Rasa dan kawalan stering kini jauh lebih baik berbanding versi awal yang terlalu ringan dan kaku. Sekarang, terdapat 3 tetapan berat yang sesuai untuk pemanduan harian dan memberikan keyakinan ketika mengambil selekoh samaada Eco, Normal atau Sport.
Sama seperti stering, sistem brek regeneratif menawarkan 3 tetapan mod pemanduan samaada low, medium dan heavy, bersama X-Mode. Oh ya, semasa pandu uji di lebuh raya penulis memang menggunakan tetapan brek regeneratif rendah membuatkan pemanduan G6 terasa lebih natural.

Sistem suspensi pula menggunakan rekaan double wishbone dan multilink, tetapi masih menggunakan penyerap hentak pasif. Untuk pemanduan di lebuh raya dan bandar, G6 terasa stabil dan selesa. Namun di jalan kampung dengan halaju melebihi 80km/jam, G6 akan terasa sedikit buai, sifat biasa EV yang berat sekitar 2,600 kg dengan jarak kelegaan tanah 170 mm.
Tapi bagi penulis, ayunan cesi Xpeng G6 masih lagi berada dalam tahap terkawal.
Untuk ADAS, XPeng G6 menggunakan sistem Xpilot 2.5 yang diproses menggunakan cip Orin dengan kuasa pengiraan 254 TOPS (Trillion Operastion Per Second). Sistem ini menyokong Adaptive Cruise Control, Lane Centering Assist, Adaptive Turning Cruise dan Auto Lane Change.
Ketika mengambil selekoh, sistem akan memperlahankan kelajuan secara automatik, mengira sudut stereng dan mengekalkan laluan dengan kemas. Fungsi auto lane change juga berfungsi hanya dengan memberi signal dan G6 akan menukar lorong apabila keadaan selamat secara automatik.

Buat pertama kali dalam sejarah, penulis menggunakan sistem ini sepanjang pemanduan santai sejauh 200 km pada 110 km/j, sistem ini terbukti konsisten dan meyakinkan. Pada masa sama pemanduan terasa tidak membebankan penulis
Ciri keselamatan tambahan turut disediakan seperti keupayaan mematikan beg udara hadapan dan mengunci pintu belakang untuk kanak-kanak dengan kawalan daripada skrin depan. Xpeng G6 menawarkan penarafan Euro NCAP 5 bintang dengan 7 beg udara sekaligus memberikan keyakinan pada bakal pembeli.
XPeng G6 2025 versi naik taraf menunjukkan peningkatan dalam semua aspek penting seperti prestasi bateri, kelajuan pengecasan, keselamatan, ADAS, pengendalian, respon stereng dan prestasi keseluruhan. Ia bukan lagi EV yang hanya menarik di atas kertas, tetapi sebuah kenderaan elektrik yang benar-benar matang dan seimbang.

Berdasarkan pengalaman pemanduan dan pakej yang ditawarkan, ini adalah antara SUV elektrik yang berani untuk dicadangkan oleh penulis sebagai kenderaan elektrik harian yang lengkap.


