Buletin

7 KERETA SPORTS YANG BAGUS TAPI SEBENARNYA TAK LAKU SANGAT

Ramai yang sukakan kereta sport. Ramai juga yang suka membaca tentangnya. Tak kurang yang menyimpan impian untuk memilikinya. Malangnya pemilikan kereta sports ini kebanyakannya berlaku di alam impian dan bukannya di dunia sebenar. Tak percaya tanya mana-mana pengeluar tentang kereta yang paling kurang buat duit dan jawapan yang akan anda dengar ialah, kereta sports baik coupe mahupun convertible.

Ia memang sesuatu yang menyedihkan kerana kereta sports merupakan kereta yang paling sesuai dengan jiwa pemandu sejati macam Abang Japar. Tapi itulah, jumlah jualannya memang tidak setanding langsung dengan kenderaan keluarga yang dipasarkan oleh syarikat pengeluar yang sama. Namun kebanyakan syarikat masih mengekalkan pengeluaran kerata sports masing-masing walaupun gagal terjual dengan laris untuk menunjukkan yang model sports memang ada dalam DNA mereka. Ini antara kereta sports yang bagus tapi sebenarnya kurang laku di pasaran.

Alfa Romeo 4C

Kedua-dua Alfa Romeo 4C Coupe dan Spider memang model klasik semulajadi sebaik ia diperkenalkan pada tahun 2014 dan 2015. Ia menggunakan enjin turbo yang mampu menjana 237 hp kuasa bila dipadankan dengan transmisi-enam kelajuan klac berganda. 4C dipuja ramai kerana ia sangat ringan dan mempunyai pemanduan yang hebat dalam kelasnya.

Tapi itulah, walaupun ia antara Alfa Romeo yang cantik, angka jualannya langsung tidak setanding dengan model SUV mereka, Stevio yang terjual hampir 5 kali ganda lebih banyak di AS sahaja. Keadaan yang sama juga berlaku di pasaran lain.

BMW 2-Series

Anda memang peminat BMW sejati jika mempunyai sebuah model 2-Series (ataupun posternya). Ia merupakan penjelmaan semula model ikonik BMW seperti 2002 dan E30 3-Series. Ia merupakan model RWD dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan enjin berkuasa turbo. Malangnya ia bukanlah model pilihan kebanyakan pemilik BMW.

Ramai yang lebih berminat dengan X5 dan X6 yang terjual berkali ganda lebih baik di seluruh dunia. Sekarang anda faham kenapa BMW sentiasa memperkenalkan SUV baru kan?

Jaguar F-Type

F-Type merupakan pewaris kepada model lagenda Jaguar, E-Type. Ia mewakili Jaguar moden yang serba seksi, laju, seronok dipandu dan mampu menghasilkan alunan bunyi enjin yang lunak. Tapi itu semua belum mencukupi untuk menandingi kekuatan F-Pace dalam menghasilkan keuntungan kepada syarikat. Perbezaan jualan? Hmm, hampir 4 kali ganda SUV mereka lebih laku dari F-Type.

BACA: HONDA AKHIRNYA PECAT CARYN YEAN AKIBAT KOMEN BIADAP TERHADAP ARWAH ADIB

Mazda MX-5 Miata

Inilah kereta sports best-selling sepanjang zaman. Sejak diperkenalkan kepada dunia pada tahun 1989, Mazda telah mengeluarkan lebih sejuta unit model MX-5. Hebat bukan? Tapi bila dibandingkan dengan pasaran Mazda CX-5 hari ini, ia memang menyedihkan.

Ketika SUV lain Mazda menjana keuntungan untuk syarikat, model sport kecil mereka ini hanya terjual dalam jumlah yang kecil. Di AS contohnya, tahun 2017 hampir 127,000 CX-5 terjual manakala MX-5 hanya terjual sebanyak 11,000 unit. Jauh beza tu.

Mercedes AMG GT

Okey yang ini sebenarnya memang model eksklusif dan bukannya untuk pasaran besar-besaran macam Axia. Tapi jumlah jualannya memang tidak setanding langsung dengan Mercedes GLC SUV. Sebab mahal ke? Mungkin jugak, habis tu Mercedes GLC murah ke?

Bukan nak banding harga sebenarnya tapi lebih kepada kecenderungan pembeli kini yang gemarkan kereta keluarga berbanding model sports.

Nissan GT-R

Okey kita dah biasa tengok GT-R atas jalan kan? Boleh tahan jugak jumlahnya. Bahkan kalau anda ke Kota Bharu sekali pun paling tidak sekali sehari anda akan dapat melihat GT-R di atas jalan.

Tapi sebenarnya SUV ataupun MPV keluaran Nissan lain jauh lebih banyak menjana duit untuk Nissan berbanding GT-R. Kos pemilikan yang bukan murah dan jumlah ahli keluarga yang semakin meningkat mungkin faktor utama kan?

Porsche Boxster dan Cayman

Keduanya mungkin merupakan Porsche yang sesuai untuk kegunaan setiap hari tetapi bila anda perlu menghantar anak-anak ke sekolah dan berkemampuan, ramai yang akan memilih Cayenne ataupun Macan dengan kemampuan membawa penumpang yang lebih ramai. Jualan Porsche Macan sahaja adalah 4 kali ganda lebih tinggi berbanding Porsche Boxster.

Rasanya memang trend sekarang lebih memihak kepada MPV dan SUV berbanding kereta sports. Tambahan pula dengan faktor ekonomi yang sentiasa merudum menyebabkan pemilikannya hanya sesuai untuk mereka yang benar-benar berkemampuan.

Google ads
Back to top button