Buletin

MENTERI PENGANGKUTAN LANCAR TAXIGO. APLIKASI KHAS E-HAILING UNTUK TEKSI

Samada terima atau tidak, teknologi akan memaksa semua orang berubah. Namun agak menghairankan kerana industri teksi tempatan nampaknya tidak mahu seiring dengan teknologi e-hailing yang sedang berkembang di seluruh dunia.

Tidak dinafikan, sistem ini tidak sempurna, dan kadangkala “menekan” pemandu berbanding penumpang. Namun, ia sentiasa ditambahbaik dan sebenarnya memberi pilihan kepada pengguna, apa lagi di sebuah negara yang perkhidmatan teksinya terkenal dengan bermacam-macam isu.

Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke baru-baru ini melancarkan aplikasi khusus untuk pemandu teksi SAHAJA. Ia bukan seperti GRAB yang berkongsi pilihan kenderaan samada kereta biasa atau teksi.

DIkenali sebagai TaxiGo, ia adalah aplikasi kedua yang dilancarkan Anthony selepas melancarkan aplikasi caLLme di Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada Sabtu lepas.

TaxiGo dibangunkan oleh syarikat tempatan Cab Mmobility Sdn Bhd. Pemandu teksi sudah mula menyedari kepentingan teknologi dan aplikasi e-hailing sudah mula mendapat sambutan positif.

Apa yang lebih penting ialah pelanggan sudah tahu berapa tambang yang perlu mereka bayar sebelum memesan teksi.

“Kami berharap lebih ramai pemandu teksi menyertai e-hailing begini. Lebih ramai yang menyertainya, industri ini akan berkembang bersama-sama,” ujar Loke.

Hanya servis teksi sahaja yang boleh dibuat menerusi aplikasi TaxiGo yang disediakan pada pelantar android dan iOS. Berbeza dengan sistem komisen yang dikenakan pada e-hailing biasa, TaxiGo tidak mengambil sebarang peratusan bayaran, sebaliknya ia berdasarkan trip perjalanan.

Setiap trip akan dikenakan cas perkhidmatan sebanyak RM2. Selain itu, pemandu teksi juga bakal menikmati pendapatan tambahan 10% hingga 20% menerusi paparan iklan pada bumbung kenderaan mereka.

Google ads
Back to top button