" "
Artikel Pilihan

MAZDA MX-5 MIATA HARI INI BERUSIA 35 TAHUN – MUDA LAGI NI

Pada tanggal 9 Februari 1989, sebuah kereta sport paling berpengaruh di abad kedua puluh didedahkan kepada umum. Ia dinamakan Mazda MX-5 Miata. Sesi pengenalan kepada dunia diadakan di Chicago Auto Show pada tahun tersebut dan menyaksikan penguasaan Miata dalam pasaran kereta sport roadster.

Kemunculan Miata juga memberi inspirasi kepada BMW, Mercedes-Benz, Audi, Honda dan Nissan untuk menghasilkan kereta convertible 2-tempat duduk mereka sendiri.

Kini selepas 35 tahun, Miata masih lagi kekal menjadi peneraju segmen kereta sport paling mampu milik dan membuka pintu kepada pemiliknya untuk merasai sendiri keseronokkan memandu di jalan raya terbuka.

Mazda berjaya menjual 1,256,745 unit Miata yang juga dikenali dengan nama Roaster dan MX-5. 40 peratus daripada jumlah tersebut merupakan pasaran AS manakala Eropah di tempat kedua dengan 391,503 unit berjaya dijual. Jepun pula berada di kedudukan ketiga dengan 225,510 unit berjaya dijual.

Mazda sendiri tidak menyangka Miata akan menjadi begitu popular dan kini ia menjadi model ikonik Mazda dengan falsafah ‘jinba ittai’ yang bermaksud ‘kuda dan penunggang menjadi satu’.

Selamat hari jadi Mazda MX-5 Miata dan kami berbangga kerana sebuah dari model ikonik Mazda ini berada di hadapan pejabat kami. Hahaha.

Google ads
Back to top button