Artikel Pilihan

NISSAN SKYLINE GT-R R34 PALING MAMPU MILIK DI DUNIA – SESUAI UNTUK SEMUA GOLONGAN

Sekarang ni musim hujan dan kalau jenis sensitif tu faham sajalah, asal kena hujan sikit terus selsema. Hidung berair ataupun hidung berlari kata orang putih. Tisu tok tak payah ceritalah, dah jadi macam benda wajib tak kira kat rumah atau kat atas kereta kereta. Sampai merah hidung asyik tenyeh dengan tisu. Jadi untuk menjadikan benda macam tisu ni menarik kini di Jepun telah muncul kotak tisu Nissan Skyline GT-R R34 yang sangat menarik.

Tak pernah kami jumpa kotak tisu sehebat ini. Ia jauh lebih cool berbanding kotak tisu perak dengan kemasan baldu yang mak abang pernah beli satu ketika dahulu. Sorry ye mamaku sayang. Inilah hasil kreativiti Camshop Japan. Ia bukan hanya dilesenkan oleh Nissan tapi juga mempunyai roda yang boleh berpusing. Ia sepanjang 292mm dan mempunyai skala 1:15.75 berbanding model sebenar.

Kenapa skala pelik dan tak macam kereta mainan lain? Dah tentu ini bukan kereta mainan sebab ukurannya berdasarkan saiz kotak/pek tisu standard di Jepun. Tapi tak ada sapa nak marah kalau kata ini kereta mainan.

Ia boleh didapati dalam warna Bayside Blue, perak dan hitam dan harganya di Jepun ialah sekitar USD47 (RM215.55). Apa pasal mahal sangat bang? Dik, ini kotak tisu GT-R tau, bukan kotak tisu Myvi SE ataupun Kancil 660 EX. Harga mesti la kena up sikit. Ha ha ha.

Menariknya syarikat ini turut menawarkan penghantaran antarabangsa. Jadi kalau rasa nak memilikinya korang boleh la layari sendiri laman sesawang syarikat tersebut. Kalau nak bagi hadiah kat kami pun kami okey je. Hari jadi kami 365 hari setahun. Tak kira berapa haribulan.

Nah sekarang siapa kata anda tak mampu memiliki sebuah GT-R. Kalau anda rasa sedih sebab rasa artikel ini memberikan harapan palsu dan terasa ingin menangis, inilah hadiah yang paling tepat untuk menemani kesedihan anda. Kotak tisu Nissan Skyline GT-R R34, isitimewa untuk peminat kereta berhati tisu. Ini pun kira JDM apa.

Google ads
Back to top button