Buletin

KIA CEED 2018 – TAWAR 5 PILIHAN ENJIN UNTUK PASARAN EROPAH

Kia Motors baru-baru ini mendedahkan model Ceed serba baharu, lebih awal dari debut dunia pada acara Geneva International Motor Show 2018 bulan depan.

Sudah memasuki generasi ketiga, Ceed direka, dibangun dan dihasilkan di Eropah. Sekali gus mengukuhkan kehadiran Kia dalam segmen C dengan teknologi baru yang inovatif, pemanduan mantap dan reka bentuk lebih menarik.

Sejak generasi pertama Ceed dihasilkan di kilang Kia di Slovakia pada Disember 2006, lebih 1.28 juta unit Ceed telah dijual. Ceed baharu akan dibina di kilang Žilina, Slovakia, bersama model Sportage dan Venga.

Ceed kini tampil dengan reka bentuk lebih sporty yang mengambil inspirasi model Stinger. Bahagian belakangnya lebih bersegi, menggantikan rekaan bulat sebelum ini.

Model baharu itu juga dipasang dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk kuib ais sebagai ciri standard. Hatchback lima pintu tersebut akan ditawarkan dalam 12 warna baharu. Pelanggan boleh memilih rim bersaiz 15, 16 atau rimdua tona 17 inci.

Ruang kabin yang menggunakan material berkualiti tinggi itu semakin ergonomik. Papan pemuka dibahagikan kepada dua bahagian yang menempatkan skrin sentuh untuk sistem infotainmen dan tombol kawalan audio serta pendingin hawa pada ruang bawahnya.

Dibina di atas platform K2 yang baru, ia menawarkan pakej yang lebih efisien. Ruang kargo kini lebih luas dengan 395 liter, selain ruang kepala, dan bahu lebih luas untuk semua.  

Ceed hadir dengan pilihan rangkaian kuasa yang luas. Enjin petrol terdiri daripada 1.0 liter T-GDi (Turbocharged Gasoline Direct injection) yang menghasilkan kuasa 120PS dan enjin Kappa 1.4 liter T-GDi berkuasa 140PS.

Enjin itu menggantikan enjin 1.6 liter GDI sebelum ini. Enjin 1.4 liter MPi (Multi-Point injection) turut ditawarkan.

Kia ada menawarkan rangkaian enjin diesel U3 baharu. Enjin 1.6-litre CRDi (Common-Rail Direct injection) itu didatangkan dengan pilihan output kuasa 115PS dan 136PS dengan tork 280Nm.

Enjin-enjin itu kemudian akan dipadankan dengan kotak gear manual enam kaljuan atau transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

Kia Ceed akan memulakan produksi pada suku kedua 2018. Ia hadir bersama jaminan selama tujuh tahun dan perbatuan sejauh 161,000km.

Google ads
Back to top button