
KIA PERKUKUH OPERASI CKD DI MALAYSIA MELALUI STELLANTIS, PENGELUARAN BERMULA Q3 2026
Kia Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Stellantis Malaysia bagi memperluaskan operasi pemasangan tempatan (CKD) di negara ini menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang diumumkan baru-baru ini.
Kerjasama tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam pelan jangka panjang Kia untuk memperkukuh kehadiran jenama itu di Malaysia, selain mempercepatkan usaha penyetempatan pengeluaran kenderaan untuk pasaran tempatan dan eksport serantau.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Malaysia serta Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim berkata, kerjasama berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk mengembalikan kekuatan jenama Kia di Malaysia.
Menurut beliau, kolaborasi bersama Stellantis Malaysia serta penggunaan ekosistem rantaian bekalan automotif tempatan akan membantu Kia memperluaskan operasi tempatan sambil meningkatkan mutu pengeluaran dan kesiapsiagaan bagi model-model akan datang.

“Langkah ini mengukuhkan kedudukan Kia untuk terus berkembang di Malaysia dan rantau ASEAN,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan ASEAN Stellantis, Isaac Yeo berkata, kerjasama tersebut mencerminkan kepentingan hubungan strategik antara pemain industri dalam memperkukuh ekosistem automotif negara.
Beliau berkata, penggunaan fasiliti Stellantis di Gurun, Kedah secara berterusan mampu mewujudkan nilai bersama kepada rakan industri, vendor serta pembekal tempatan selain menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Di bawah perjanjian itu, Stellantis Malaysia akan bertindak sebagai pemasang kontrak untuk operasi CKD Kia di fasiliti pengeluarannya di Gurun.
Kilang berkenaan dilengkapi kemudahan pengeluaran moden termasuk fasiliti badan dan cat kenderaan, litar ujian di tapak serta sistem pengurusan kualiti yang mematuhi piawaian ISO 9001.
Fasiliti tersebut turut direka untuk menyokong pengeluaran pelbagai model dan jenis rangkaian kuasa, termasuk model semasa Kia seperti Sportage dan Carnival selain model baharu yang bakal diperkenalkan pada masa depan.
Pengeluaran dijadual bermula pada suku ketiga tahun 2026.
Terletak di Kawasan Perindustrian Gurun, Kedah, fasiliti Stellantis yang mula beroperasi sejak 2021 itu meliputi kawasan seluas kira-kira 140 ekar dan kini menggaji lebih 400 tenaga kerja mahir.
Kerjasama ini juga dijangka meningkatkan fleksibiliti operasi dan kapasiti pengeluaran Kia bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.
Dalam masa sama, Kia turut merancang untuk memulakan pemasangan bagi tujuan eksport serantau seiring dengan bekalan untuk pasaran domestik, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab penting pengeluaran jenama itu di ASEAN.









