Artikel Pilihan

BENARKAH ENJIN MOTOSIKAL SEJUKAN UDARA SUDAH KETINGGALAN ZAMAN?

Sudah hampir satu dekad kebanyakan motosikal berkuasa kecil telah dilengkapi dengan enjin-enjin sejukan cecair dan hanya segelintir masih menggunakan enjin sejukan udara. Segmen motor kecil ini juga banyak dipelopori oleh Yamaha dengan siri motosikal yang menggunakan sejukan cecair (LC). Baik dari super cub sehinggalah ke skuter-skuter automatik. Dari situ mula timbul anggapan daripada ramai kaki motor yang enjin sejukan cecair adalah lebih baik berbanding enjin sejukan udara. Sejauh mana kebenarannya?

Memang benar enjin sejukan cecair ini mula menjadi popular bila Yamaha memperkenalkan enjin LC4V untuk model keluarannya. Selepas itu semua mulai sedar akan potensi penggunaan radiator pada motosikal dan syarikat-syarikat lain turut mengambil langkah yang serupa. Malah sebahagian besar memang telahpun bertukar kepada enjin sejukan cecair yang dikatakan lebih baik dan cekap.

Jika perbandingan dilakukan secara membuta tuli jawapannya memang sampai bila-bila tak akan habis. Sebenarnya kedua-dua sistem penyejukan mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Janganlah asyik nak bergaduh macam budak-budak baru nak kenal dunia motosikal.

Sebenarnya kedua-dua jenis enjin ini saling melengkapi antara satu sama lain. Berdasarkan pengalaman kami, enjin yang dilengkapi dengan radiator memang mampu berfungsi dengan lebih baik kerana ia mempunyai sistem pendingin tambahan iaitu cecair di dalam radiator itu sendiri. Ini juga bermakna enjin boleh direka agar lebih kompak dan padat dan mempunyai nisbah mampatan yang tinggi selain putaran enjin (RPM) yang juga lebih tinggi.

Radiator juga biasanya dilengkapkan pada enjin-enjin motosikal berkuasa tinggi menyebabkan timbulnya tanggapan yang enjin akan berfungsi dengan lebih baik bila ia dilengkapi dengan radiator. Ia juga menjadi satu kelebihan bagi mereka yang suka membandingkan spesifikasi motosikal dengan menggunakan brosur jualan.

Satu daripada kekurangannya pula ialah enjin ini pasti akan overheat jika sistem pendingannya bermasalah. Lagi satu tentang radiator ialah mitos sesetengah pemilik tentang pilihan cecair untuk dituang ke dalam radiator. Ada  yang mengatakan mencukupi dengan menggunakan air paip, ada yang memilih air suling , ada yang mencampurkannya dengan cecair penyejuk. Malah ada yang hanya menggunakan cecair penyejuk seratus peratus. Entah kat mana la semuanya berguru pun kami tak tahu.

Jangan pula nak pandang sebelah mata dengan enjin sejukan udara kerana ia mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Kalau tak takkanlah Harley-Davidson masih menggunakan enjin jenis ini walaupun mereka turut memperkenalkan enjin sejukan cecair.

seven motorcycles action, static, details

Enjin sejukan udara adalah lebih ringkas dengan jumlah komponen yang tidak sebanyak enjin sejukan cecair. Jadi pada enjin jenis ini kita tidak akan menemui pam air (water pump), termostat, water jacket, radiator sebesar Wira VR4 dan kipas penyejuk. Enjin ini juga mempunyai kos produksi yang lebih rendah berbanding enjin sejukan cecair.

Itu perbandingan secara ringkas, kita pergi pula sedikit lagi kepada aspek teknikal. Dari segi operasi pula enjin sejukan cecair mempunyai bacaan suhu yang lebih stabil kerana sistem pendingin akan berfungsi secara automatik bila peningkatan suhu berlaku. Kipas radiator akan berputar untuk mengeluarkan udara panas dari radiator dan termostat akan membebaskan cecair pendingin untuk mengalir di dalam enjin bagi menyejukannya.

Pada enjin sejukan udara pula ia dihasilkan dengan bukaan-bukaan tertentu untuk mengalirkan angin dicelahnya bagi menghindarkan enjin daripada overheat. Dalam keadaan standard, kuasa enjin inn adalah rendah tetapi ia tidak akan mengalami overheating.

BACA: WARNA & GRAFIK BAHARU UNTUK YAMAHA Y135LC

Kelebihan lain enjin sejukan cecair ialah ia mempunyai rekaan yang kompak selain lebih senyap kerana ia mempunyai water jacket yang turut berfungsi menyerap bunyi bising dari enjin.

Tapi kena ingat juga, enjin sejukan cecair perlukan penyelenggaraan yang lebih rapi kerana komponen termostat dan radiator memang mesti selalu dibersihkan. Ia berbeza dengan enjin sejukan udara yang lebih ringkas dan kurang kompleks.

Walau apa pun, keduanya memang mempunyai kelebihan masing-masing. Daripada bertanya enjin dengan sistem sejukan mana lebih baik, baik tanya diri anda sendiri enjin mana yang lebih sesuai untuk diri anda dan kegunaan motosikal anda. Lagi ada faedah, kan?

Google ads
Back to top button