
KIA GT4 STINGER
Kia Motors America (KMA) semalam mendedahkan model konsep paling agresif pada acara North American International Auto Show (NAIAS).
Diberi nama GT4 Stinger, ia menunjukkan hala tuju baharu rekaan Kia. Kereta konsep itu menampilkan sebuah kereta sports berpacuan roda belakang dan kapasiti tempat duduk 2+2.
Jentera itu dihasilkan oleh pasukan pereka Kia di California yang turut menghasilkan model konsep Kia Track’ster. “Keseronokan memandu menjadi keutamaan ketika mereka bentuk GT4 Stinger. GT4 Stinger ialah kereta sport sebenar yang menawarkan keseronokan memandu tanpa diganggu oleh bantuan sistem elektronik,” kata ketua pereka Kia Design Center America (KDCA), Tom Kearns.
Jentera tersebut dikuasakan oleh unit enjin petrol empat silinder pancitan terus dengan pengecas turbo (T-GDI) bersesaran 2.0 liter. Turut digunakan pada kereta lumba Kia Optima, ia mampu menjana kuasa sehingga 315hp. Kuasa itu kemudian dialirkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan.
Roda dibalut oleh tayar berprestasi tinggi Pirelli P-Zero bersaiz 275/35R-20. Rim aluminium bersaiz 20 inci itu juga diselitkan dengan gentian karbon untuk memastikannya lebih kukuh dan ringan. Di sebalik rim tersebut, terselit brek Brembo Gran Turismo 15 dengan rotor bersaiz 15 inci dan angkup empat injap bagi menawarkan prestasi membrek yang terbaik.
Sistem gantungan GT4 Stinger menggunakan khidmat suspensi double wishbone bebas. Dengan tapak roda lebih pendek berbanding model Forte dan lebar daripada model Cadenza, model konsep ini memang tampil agresif. Agihan beratnya pula ialah 52 peratus di hadapan dan 48 peratus di belakang.
Ruang kabin direka agar praktikal. Tempat duduk kulit pula diinspirasikan daripada tempat duduk bucket daripada jentera lumba. Ia tidak dilengkapi oleh sistem audio. “Sistem audio berada di bawah hud dan pembesar suaranya ialah paip ekzos,” kata Kearns.
Buat masa sekarang, Kia tidak ada perancangan untuk membawa GT4 Stinger ke saluran produksi. Namun, model konsep ini tidak mustahil akan menjadi salah satu model masa depan Kia.















