Pandu Uji

PEUGEOT 2008 – SUV URBAN

Bagi Peugeot, sebuah SUV urban didefinisikan menerusi pemanduan yang dinamik, rekaan menarik, fleksibel, praktikal dan mampu menggambarkan imej pemiliknya. 

Peugeot2008_72

Cabaran untuk membina kenderaan itu kemudian menjadi bertambah sukar, apabila ia juga harus memenuhi citarasa pengguna urban di seluruh dunia.  Dibina berasaskan model kompak 208, crossover itu bagaimanapun berjaya membuatkan ramai orang kagum dengan ciri-ciri yang ada padanya.

Justeru, 2008 mungkin menjadi pilihan terbaik untuk sesiapa yang inginkan sebuah crossover dan mahu tampil berbeza berbanding orang lain. Namun, adakah menjadi berbeza sudah cukup meyakinkan anda untuk memilikinya?

Peugeot2008_53

Baru-baru ini, Mekanika Malaysia dijemput untuk menghadiri sesi pandu uji 2008. Bermula dari pusat beli-belah Publika, destinasi kami pada hari itu menuju ke Putrajaya dengan melalui jalan kampung, berbukit dan lebuh raya.

Dari segi pemanduan, 2008 memang lincah sebagai sebuah SUV urban. Gabungan kerangkanya yang kompak serta suspensi topang MacPherson untuk roda hadapan serta suspensi belakang jenis deformable cross member dengan peredam dan pegas gegelung cukup untuk menawarkan pemanduan yang selesa.

Peugeot2008_26

Olengan tubuhnya minimum, biarpun sesekali melayan selekoh pada kelajuan sedikit tinggi. Maklum balas stereng yang responsif membuatkan pemanduan kian menyeronokkan.

2008 bukanlah jentera yang terlalu pantas. Berkongsi enjin dan transmisi yang sama seperti 208, ia bagaimanapun masih mampu menggerakkan SUV seberat 1,140kg itu dengan mudah.

SONY DSC

Enjin bersesaran 1.6 VTi itu berupaya menghasilkan kuasa sehingga 122PS dan 160Nm tork.  Enjin tersebut kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan. Walaupun hanya empat gear, agihan kuasanya tetap memuaskan dan mampu memenuhi sebahagian besar corak pemanduan anda.

Ya. Melihat 2008 memang membuatkan sesiapa sahaja teringatkan model mini 208. Asas rekaan luaran 208 banyak diserapkan kepada 2008. Sekali imbas, apa yang membezakan antara kedua-duanya ialah 2008 kelihatan lebih tinggi dan solid bersama beberapa ciri SUV seperti roof rail, arca roda, selain gril krom hadapan yang menyerlah.

slider dlm (1)

Saya harus akui bahawa 2008 ialah sebuah SUV urban yang cantik. Perkadaran tubuhnya bagus dan tidak nampak pelik. Garis sisi tubuhnya cuba untuk menampilkan elemen atletik.

Bahagian hadapan bergaya dengan sepasang lampu utama, lengkap bersama butiran LED. Lampu belakang pula mengekalkan rekaan seperti boomerang dengan tiga garis lampu LED.

SONY DSC

Ruang kabin 2008 distruktur oleh rekaan Peugeot i-Cockpit. Ia disempurkan oleh butang kawalan atau instrumentasi dengan skrin sentuh berdefinisi tinggi (HD) bersaiz tujuh inci yang membuatkan kokpit jentera itu terasa mewah.

Pemandu mungkin akan berasa sedikit janggal apabila memegang stereng 2008 yang agak kecil berbanding stereng kereta-kereta lain. Namun, lama-kelamaan, anda dapati bahawa stereng itu sebenarnya sedap dipegang dan memberikan maklum balas yang intuitif.

Peugeot2008_27

Anda pasti menghargai keselesaan yang ditawarkan oleh tempat duduk semi bucket gabungan kulit dan fabrik berwarna hitam itu. Memandangkan ia sebuah SUV kompak, maka ruang tempat duduk belakang tidaklah terlalu luas. Bagi yang bertubuh besar, mereka akan mendapati ruang kaki agak sempit.

Sedar tentang pentingnya aspek keselamatan, 2008 hadir dengan senarai ciri keselamatan yang impresif. SUV urban itu dilengkapi enam beg udara, dua ISOFIX, Electronic Safety Program (ESP) dengan ciri Anti-Skid Regulator (ASR), DSC (Dynamic Stability Control). EBA dan EBD.

Peugeot2008_10

Untuk semua ini, 2008 ditawarkan pada harga RM119,888 di Semenanjung Malaysia,  RM121,888 (Sabah) dan RM121,588 seunit  di Sarawak. Semua harga adalah di atas jalan termasuk insurans.

Pelanggan akan diberi jaminan selama lim tahun tanpa had perbatuan yang turut merangkumi bantuan 24 jam Peugeot.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button