Buletin

KIA NIRO EV MULA DIJUAL DI KOREA – TAWAR JARAK SEJAUH 450KM SEKALI CAJ

Kia Niro EV mula dijual di Korea hari ini. Jentera itu menggabungkan rangkaian kuasa sifar emisi dengan praktikaliti sebuah crossover, pakej pintar dan reka bentuk menarik.  

Sejak Niro diperkenalkan pada tahun 2016, lebih 200,000 unit telah dijual. Selain EV, Niro turut ditawarkan dalam varian hibrid dan plug-in hybrid.

Setakat ini, Kia sudah menerima lebih 5,000 tempahan Niro EV di Korea. Ia merupakan model EV kedua Kia selepas Soul EV.

Niro EV menggunakan khidmat pek bateri lithium-polymer berkapasiti tinggi 64kWh. Menawarkan jarak perjalanan sejauh 450km dengan sekali caj, ia menjadi  salah satu kereta elektrik paling kompetitif di pasaran sekarang.

Jika menggunakan pengecas pantas 100kW, hanya 54 minit diperlukan untuk membolehkan baterinya 80 peratus penuh. Satu lagi varian dengan pek bateri lithium-polymer 39.2kWh dengan jarak sejauh 300km juga ada ditawarkan.

Pek bateri yang di bahagian bawah lantai memberikan titik graviti leih baik untuk pemanduan mantap seperti sebuah hatchback.  

Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi motor berkuasa 204PS yang berupaya menjana tork 395Nm dan pecutan 0-100km/j dalam masa 7.8 saat.

Niro EV juga dilengkapi rangkaian sistem keselamatan seperti Forward Collision Warning dengan Forward Collision-Avoidance Assist, Smart Cruise Control dengan Intelligent Stop & Go dan Lane Following Assist.

Sistem itu mengawal aspek pecutan, brek dan stereng berdasarkan kepada pergerakan kenderaan di hadapan menerusi sensor luaran untuk mengekalkan jarak yang selamat. Lane Following Assist boleh beroperasi pada kelajuan sehingga 130km/j.

Direka di pusat reka bentuk Kia di California dan Namyang, Niro EV dibezakan dengan varian hibrid dan plug-in hybrid melalui rekaan futuristik yang diinspirasikan daripada Niro EV Concept 2018.

Google ads
Back to top button