
NAK BUAT BONGGOL JALAN? ADA SPESIFIKASI YANG PERLU ANDA PATUHI
Jadilah seperti bonggol jalan, dibenci tapi jasanya kepada keselamatan jalan raya memang besar. Ia dibina demi memastikan sesebuah kenderaan itu memperlahankan kelajuan secara paksa di sesuatu lokasi.
Dengan kata lain, ia turut berfungsi sebagai panduan dan amaran kepada pengguna jalan raya supaya lebih peka dan berhati hati. Ia juga bersifat sebagai langkah keselamatan untuk melindungi pengguna jalan raya, orang awam dan penduduk sesuatu lokasi.
Binaannya juga bersifat teknikal, jadi ukuran tinggi/rendah atau lebar dan sebagainya mestilah dipatuhi demi mencapai tujuan pembinaannya.
Namun secara realitinya terdapat juga pihak tertentu yang membina bonggol-bonggol jalan ini secara persendirian.
Lebih-lebih lagi di kawasan perumahan memang ada jurutera tak bertauliah membinanya tanpa mendapat sebarang panduan mengenai peraturan yang sedia ada. Semua ikut suka tanpa mengira spesifikasi serta lokasi bonggol yang dibenarkan.
Nak salahkan mereka ini 100% pun tak boleh kerana ianya dibina demi kepentingan keselamatan yang mana bonggol dibuat di hadapan rumah masing masing demi keselamatan penduduk kawasan tersebut terutamanya kanak-kanak. Yelah.. ada umat yang memandu di kawasan perumahan pun tekan enjin sampai 12000 RPM.
Namun secara sedar atau tidak pembinaan bonggol secara haram menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Perlu diketahui bahawa sebarang pembinaan bonggol di kawasan tertentu mestilah menerusi permohonan kepada Majlis Perbandaran masing-masing dan mereka ini mempunyai garis panduan dari JKR mengenai spesifikasi sesuatu bonggol mengikut kesesuaian lokasi bonggol yang akan dibina.
Terdapat juga kes-kes di mana berlakunya kemalangan jalan raya kepada pengguna jalan lain akibat bonggol yang didirikan tidak menepati spesifikasi yang sepatutnya.
Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyatakan;
Mana-mana orang yang bagi apa-apa maksud meletakkan atau menyebabkan diletakkan
apa apa bonggol jalan, atau apa-apa tali, wayar, rantai, takal atau radas yang seumpama itu melintang sesuatu jalan atau mana mana bahagian daripadanya dengan apa apa cara sehingga mungkin menyebabkan bahaya kepada orang atau kerosakan kepada kenderaan kenderaan yang menggunakan jalan itu adalah, melainkan jika dia membuktikan bahawa dia mempunyai hak yang sah untuk berbuat demikian dan bahawa dia telah mengambil segala langkah yang perlu untuk memberi amaran yang cukup tentang bahaya itu, telah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM2000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua duanya sekali.
Untuk pengetahuan semua, permohonan untuk membina bonggol jalan hendaklah dikemukakan melalui:
1. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)
2. Persatuan Penduduk / Rukun Tetangga3) Ahli Majlis / ADUN Kawasan / Ahli Parlimen
Antara syarat yang akan dipertimbangkan bagi permohonan pembinaan bonggol jalan adalah:
1. Jalan pintas yang sibuk seperti jalan yang menghubungkan dua taman perumahan;
2. Jalan Bandaran (jalan dalam taman perumahan) dan jalan yang tidak menyambungkan di antara Jalan Negeri / Jalan Persekutuan;
3. Berhampiran kawasan tumpuan orang awam seperti masjid, surau atau rumah ibadat, dewan, taman permainan / tempat rekreasi, padang, sekolah / tadika dan lain-lain;
4. Berdekatan dengan lampu jalan sedia ada;
5. Jarak di antara bonggol sedia ada yang bersesuaian;
6. Tidak terdapat petak tempat petak kereta di kiri atau kanan jalan atau kedua-duanya.
Reka bentuk bonggol jalan pula adalah berpandukan Arahan Teknik Jalan JKR (18/97) Basic Guidelines On Pedestrian Facilities.