Buletin

KOS PENGELUARAN PLATFORM RENAULT 5 MURAH DARIPADA ZOE, EV MAMPU MILIK?

Pengeluar kereta sekarang ini bukan setakat bersaing dalam menawarkan kenderaan elektrik (EV) tetapi juga berlumba dalam menawarkan EV mampu milik. Saingan dari China tidak dipandang ringan.

Untuk menawarkan EV mampu milik, pengeluar perlu bermula dari asas seperti platform yang hendak digunakan.

Inilah yang bakal ditawarkan melalui EV Renault 5 yang menggunakan platform baharu CMF-B EV.

Apa yang menarik ialah platform CMF-B EV menggunakan 70 peratus perkakasan platform CMF-B yang digunakan untuk Clio dan Captur.

Lebih menarik apabila platform CMF-B EV 30 peratus lebih murah untuk dikeluarkan berbanding Renault ZOE. Platform CMF-B EV juga lebih mudah untuk dibuat dan dibangunkan.

Satu kelebihan rekaan baharu tersebut ialah EV generasi baharu boleh dihasilkan dengan trek dan jarak roda yang boleh diubah untuk pelbagai jenis dan gaya badan kereta.

Apa lagi ciri menarik? Chasis yang menggunakan gandar belakang multi-link untuk sebuah kereta segmen B!

Platform itu juga mempunyai pusat graviti yang rendah dengan bateri di bawah lantai dan memberi faedah dari segi dinamika pemanduan.

Selain itu, ruang enjin platform CMF-B EV lebih kompak memandangkan perkakasan untk motor elektrik lebih kecil berbanding enjin pembakaran dalaman (ICE).

Motor elektrik jenis segerak (synchronous) pada Renault 5 disesuaikan dari ZOE dan Megane E-Tech.

Bukan sahaja mempunyai output lebih tinggi berbanding motor elektrik magnet kekal, motor itu itu juga tidak memerlukan logam nadir bumi (rare-earth metal).

Maknanya, kos pengeluaran skala besar dan impak pada alam sekitar lebih rendah.

Renault juga berjaya mengumpul penukar (converter) DC/DC dari 400V kepada 12V, pengecas bateri dan kotak aksesori yang menguruskan pembahagian kuasa.

Tiga komponen dengan fungsi berbeza itu dikumpul di dalam satu kotak dan menjadikan enjin Renault 5 lebih kecil dan ringan.

Dengan berat kira-kira 20 kg berbanding ZOE, enjin Renault 5 lebih seronok untuk dinikmati dan lebih dinamik.

Satu lagi yang berbeza ialah Renault 5 menggunakan bateri empat modul saiz besar berbanding 12 model pada ZOE. Bateri itu juga mempunyai rekaan lebih ringkas dan 15 kg lebih ringan.

Bateri Renault 5 menggunakan modul satu lapisan dan padanan sempurna untuk platform CMF-B EV.

Renault turut memberi perhatian dengan menempatkan bateri di dalam platform untuk lebih perlindungan.

Kedudukan itu menambah ketegaran pada bahagian bawah kereta dan membantu dalam menambah baik akustik dan keseronokan pemanduan.

Apa yang dikatakan ini bakal dipertontonkan apabila Renault 5 diperkenalkan pada 2024 dan menggantikan model ikonik ZOE.

BACA: GEELY DAN RENAULT RANCANG TUBUH SYARIKAT, DIJANGKA BEKAL ENJIN KEPADA PROTON!

BACA: RENAULT ZOE 2022 KINI DI MALAYSIA. 2 VARIAN, 395KM SEKALI CAJ, BERMULA RM163K

BACA: RENAULT R5 TURBO 3E – INTERPRETASI EV MODEN VERSI HOMOLOGASI

Google ads
Back to top button