GEELY DAN RENAULT RANCANG TUBUH SYARIKAT, DIJANGKA BEKAL ENJIN KEPADA PROTON!
Geely nampaknya semakin meluaskan pengaruh dan kerjasamanya dengan jenama automotif besar di persada antarabangsa.
Pada November 2022, Geely Holding Group (Geely Holding dan Geely Automobile Holdings Limited (Geely Auto) mengumumkan satu perjanjian rangka kerja yang tidak terikat telah dimeterai bersama Renault Group.
Intipati perjanjian itu bagi membangunkan, mengeluarkan dan membekalkan rangkaian kuasa hibrid dan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Kerjasama Geely dan Renault bukan baharu, sebelum ini Geely Automobile Holdings melalui syarikat subsidiari Centurion Industries Limited merancang untuk membeli 34.02 peratus saham di dalam Renault Korea Motors (RKM).
Di bawah perjanjian rangka kerja tersebut, Geely dan Renault Group akan memegang 50-50 ekuiti di dalam syarikat baharu yang bakal ditubuhkan.
Syarikat baharu itu akan menjadi pembekal global kendiri (standalone) bagi sistem penyelesaian kuasa dan menghasilkan sistem hibrid generasi baharu dan membangunkan teknologi bebas karbon dan emisi rendah dari lima pusat penyelidikan dan pembangunan (P&P) global.
Apabila dilancarkan, syarikat dijangka membekalkan kepada pelbagai pelanggan industri seperti Renault, Dacia, Geely Auto, Volvo Cars, Lynk & Co, Proton, Nissan dan Mitsubishi Motors Company.
Jika menjadi realiti, kesemua syarikat automotif tersebut bakal berkongsi nadi yang sama.
Ini tidak menghairankan kerana sudah diamalkan pelbagai pihak di dalam industri tambahan pula dunia sudah bergerak ke arah teknologi elektrifikasi penuh dan setiap syarikat perlu menguruskan kos dengan baik.
Pada masa akan datang, kerjasama tersebut itu juga boleh menawarkan teknologi rangkaian kuasa kepada jenama kenderaan lain.
Syarikat baharu itu dirancang untuk mengoperasikan 17 kilang rangkaian kuasa di tiga benua dan menggajikan sekitar 19,000 pekerja.
Operasi itu bakal menyaksikan kapasiti pengeluaran dengan jumlah lebih lima juta enjin pembakaran dalaman, hibrid dan plug-in hybrid termasuk transmisi setiap tahun dan digunakan di lebih 130 negara dan rantau.
Perkembangan dan butiran lanjut tentang perjanjian bakal diumumkan pada tahun ini.
BACA: GEELY MAHU BELI 34.02% SAHAM DALAM RENAULT KOREA MOTORS!
BACA: PROTON X50, SAMA TAPI TAK SERUPA GEELY BINYUE!
BACA: GEELY BERJAYA DAPATKAN 7.6 PERATUS SAHAM ASTON MARTIN LAGONDA