
RENAULT 5 TURBO 3E – HOT HATCH DENGAN HARGA SEBUAH SUPERCAR
Semasa Renault mendedahkan hot hatch istimewa mereka, Renault 5 Turbo 3E kami memang dah dapat agak yang ianya sebuah model yang mahal tapi tak sangka pula harganya hampir menyamai Chevrolet Corvette ZR1 ataupun Porsche 911 GTS. Ya, memang mainan mahal ni tuan-tuan. Tapi kami yakin ia tidak akan menjadi model pilihan tokey-tokey MLM.

Buat masa sekarang harganya dianggarkan sekita USD175,923.43 (RM 767,905.77)! Jadi oleh sebab harganya cukup mahal, bayaran tempahan juga agak tinggi. Bukan sepuluh peratus tapi USD57,000 (RM248,805)! Ya dengan nilai sebanyak itu bani #baikbeli akan mencadangkan kereta lain yang lebih jimat.
Tapi okey jugak la sebab ia akan ditolak daripada harga asal keseluruhan. Kira tambah bayaran je. Renault berkata bayaran tempahan itu juga akan membantu menampung kos pengeluaran model istimewa sebanyak 1,980 unit ini.

Lepas buat tempahan je, bakal pembeli boleh pergi ke cawangan Renault untuk urusan seterusnya sekali gus memilih konfigurasi yang mereka mahukan. Warna-warna yang ditawarkan semestinya unik siap dengan liveri khas. Penghantaran akan bermula pada tahun 2027.
Sebelum ini pun kami dah pernah siarkan artikel tentang Renault 5 Turbo 3E ni. Ia dibangunkan bersama dengan Alpine dan berbeza dari Renault 5 biasa, Turbo 3E dipacu oleh roda belakang dan mempunyai 536 hp kuasa yang dibekalkan oleh sepasang motor elektrik.
Hasilnya ialah pecutan 0-100kmj dalam masa 3.5 saat dengan kelajuan tertinggi 270 kmj!

Kereta ini cuma mempunyai dua pintu dan dua tempat duduk. Macam supercar la kan? Panggunaan serat karbon dalam pembuatan menyebabkan kereta cukup ringan dan hampir menyamai berat Renault 5 biasa. Jadi jangan bimbang sebab jika anda membelinya anda sebenarnya membelanjakan wang untuk sebuah hot hatch yang luar biasa dan bukannya sebuah Renault 5 pekak.