CIVIC TYPE R, CIVIC E:HEV, HORNET, XL750 TRANSALP MENANG ANUGERAH RED DOT 2023!
Kenderaan buatan Honda sama ada dua atau empat roda berjaya memenangi hati ramai pengguna. Lihat sahaja puluhan ribu kereta Honda yang terjual setiap tahun atau sejumlah motosikal Honda di jalan raya di negara kita.
Dari segi reka bentuk, jarang produk Honda mengecewakan dan di antara faktor utama ramai yang membuat keputusan untuk membelinya.
Terbaru Honda menang anugerah berprestij Reka Bentuk Red Dot 2023. Bukan satu tetapi empat sekaligus dengan dua model iaitu Honda Civic Type R dan Civic e:HEV menang anugerah penghormatan.
Dua lagi anugerah Reka Bentuk Produk dimenangi motosikal CB750 Hornet dan XL750 Transalp.

Red Dot merupakan satu daripada anugerah berprestij di dunia dan dianjurkan oleh Pusat Reka Bentuk Nordrhein-Westfalen yang berpusat di Essen, Jerman.
Pemenang dipilih oleh panel 50 pakar antarabangsa yang menguji dan menilai setiap penyertaan dan pemenang mencerminkan keperluan teknikal, sosial, ekonomi dan ekologi terkini pengguna.
Produk buatan Honda pula berorientasikan pengguna atau dalam bahasa mudah direka supaya praktikal untuk pengguna.
Civic e:HEV hatchback

Civic e:HEV hatchback adalah satu nama yang asing buat pengguna tempatan. Model hatchback kecuali Civic Type R tidak dijual di sini.
Honda Malaysia menggantikannya dengan Civic RS e:HEV atau nama lain bagi Civic 2.0 liter hibrid.
Walaupun direka lebih pendek, Civic e:HEV kekal dengan prinsip Honda Man-Maximum, Machine-Minimum (M/M) selain pakej hibrid yang tidak mengorbankan ruang dalaman.
Civic Type R

Walaupun sebuah Civic hatchback, model Type R jauh berbeza dengan badan mengembang dan semestinya spoiler tinggi di belakang.
Rekaannya tidak agresif seperti model sebelum, Civic Type R sebenarnya lebih berkuasa dengan beberapa perubahan dibuat pada rangkaian kuasa enjin KC20C1 dan transmisi enam kelajuan.
Satu lagi, Civic Type R kembali membawa ciri model terdahulu dengan karpet dan kerusi merah.
CB750 Hornet

Honda mempunyai banyak model ikonik dan Hornet salah satu daripadanya. Kembali dihidupkan pada 2022, Hornet menggunakan enjin 755cc silinder berkembar sebaris dengan rangka berlian baharu.
Hornet direka oleh kaki tangan Honda di Rome dengan tangki minyak dijadikan signatur dan diinspirasi dari bentuk sayap tebuan dan gaya maskulin sebuah motosikal streetfighter.
XL750 Transalp

Motosikal ini menerima anugerah penghormatan tertinggi dari para juri Red Dot dan sebuah lagi model ikonik Honda yang dihidupkan semula.
XL750 Transalp menggunakan enjin 755cc sama seperti Hornet dan dari segi rekaan membawa pengaruh XL600V Transalp 1986 dan gabungan gaya moden.
13 Anugerah!

Kemenangan tahun ini menyaksikan Honda membawa pulang 13 Anugerah Reka Bentuk Red Dot sejak 2020 termasuk Best of the Best yang dimenangi model elektrik Honda e pada 2020.
Satu yang manis apabila Honda e dan XL750 CBR1000RR-R Fireblade SP dipamerkan di Muzium Reka Bentuk Red Dot di Essen, Jerman.

BACA: HONDA CL500 DIPERKENAL DI JEPUN, GAYA SCRAMBLER, RM28.6 RIBU
BACA: HONDA AWV, KENDERAAN AUTONOMI UNTUK TAPAK PEMBINAAN!
BACA: HONDA FURY, BUKAN CHOPPER CUSTOM TAPI BUATAN ASLI HONDA!









