Artikel Pilihan

RENAULT R5 TURBO 3E – INTERPRETASI EV MODEN VERSI HOMOLOGASI

Sebelum memperkenalkan model produksi sebenar R5 EV, Renault memberi penghormatan kepada model supermini ikonik mereka R5 yang dijelmakan kepada sebuah EV sepenuhnya dan dinamakan R5 Turbo 3E Concept.

Jangan ingat ini model beshe-beshe kerana model berkuasa elektrik sepenuhnya ini mempunyai kuasa maksima 375 hp dan bahagian dalaman yang diinspirasi dari permainan video.

Generasi lama pasti mengetahui yang kereta ini diasaskan dari model klasik R5 Turbo dan R5 Turbo 2 yang diproduksikan sekitar tahun 80-an. Ia dihasilkan menggunakan casis berbentuk selinder bulat lengkap dengan anti roll bar yang diluluskan oleh FIA. Huruf E pada namanya semestinya merujuk kepada kuasa elektrik.

Jurutera Renault mampu menjadikan kereta ini lebih berkuasa tetapi mereka menetapkan had yang munasabah pada 375 hp yang dihasilkan oleh satu set motor elektrik di bahagian belakang. Kuasa ini sebenarnya adalah jauh melebihi kuasa enjin pembakaran dalamn asal kereta ini.

Tork maksima setinggi 700 Nm yang disalurkan ke roda belakang memang akan menjadikan kereta ini sebuah jentera drift yang mengegarkan.

Kuasanya adalah berpunca dari bateri lithium-ion 42 kWh yang diletakkan di bahagian bawah lantai. Walaupun Renault tidak mendedahkan dalam bentuk angka namun cas penuh cuma memerlukan masa dua jam menggunakan pengecas 380V.

Baterinya adalah seberat 520 kilogram dan berat komponen lain ialah sekitar 980 kilogram. Namun begitu ia masih dikira ringan bagi sebuah model EV sebenar.

Dari segi prestasi pula, hot hatch ini mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 3.5 saat (3.9 saat jika menggunakan Mod Drift). Kelajuan maksimanya pula dihadkan pada 200 km/j. Ye lah top speed tinggi-tinggi buat apa kalau nak main drift.

Gayanya pula jelas menunjukkan interpretasi moden berbanding model asal. Walaupun bentuk asal dikekalkan namun ciri-ciri modem ala permainan video banyak mendominasi wajah baharu R5 Turbo ini.

Panel badan gentian karbon R5 ini diwarnakan dengan warna yang lebih segar dan digandingkan pula dengan rim bersaiz 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang. Bodykitnya kini juga kelihatan lebih aerodinamik dengan fender hadapan dan belakang yang dilebarkan.

Lampu utama kini digantikan dengan LED berwarna merah jambu, biru dan kuning. Beberapa ciri ikonik diberi interpretasi baharu contohnya skup bonet yang kini menempatkan port cas semula bateri.

Selain daripada dua tempat duduk bucket, terdapat juga sepuluh tempat khas untuk meletakkan kamera bagi membolehkan anda mengambil gambar aksi-aksi anda membuat drift. Jangan tersilap muatnaik ke dalam talian silap-silap anda boleh didakwa atas kesalahan trafik.

R5 Turbo 5 akan didedahkan kepada umum pada 25 September ini di pertandingan Chantilly Arts & Elegance 2022. Kalau tak sempat tengok tak apa sebab selepas itu ia akan dipamerkan di Paris Motor Show pada bulan Oktober ini.

Google ads
Back to top button