
LAND ROVER DEFENDER 90 PICK UP INI TAK PERNAH KENA HUJAN, JANGKAAN HARGA RM319 RIBU!
Sebuah unit Land Rover Defender 90 Pick Up keluaran tahun 2015 yang sangat istimewa bakal menjadi tumpuan peminat tegar pacuan empat roda apabila ia dijadualkan untuk bidaan tidak lama lagi.
Di antara ciri-ciri yang menjadikan unit ini luar biasa adalah jarak perbatuan yang dicatatkan hanya sekitar 124 batu (200 km) sejak ia keluar dari bilik pameran sebelas tahun yang lalu.
Unit ini disimpan dengan rapi di dalam sebuah bangsal yang kalis cuaca dan dilaporkan tidak pernah dipandu dalam keadaan hujan.
Keadaan fizikalnya yang tidak terusik menjadikan ia salah satu contoh terbaik Land Rover Defender klasik yang masih wujud di pasaran buat masa ini.
Sejarah Pemilikan dan Keaslian yang Terpelihara

Hanya mempunyai seorang pemilik sejak baru, unit ini dibeli atas dasar nostalgia semasa membesar.
Namun, pemiliknya kini memutuskan untuk melepaskannya kerana mempunyai ikatan sentimental yang lebih kuat terhadap koleksi Land Rover lain di ladang beliau.
Walaupun sudah berusia lebih sedekad unit ini masih mengekalkan keaslian sepenuhnya termasuk pelekat cermin depan pengedar yang dipasang dari kilang.
Walaupun jarang dipandu ia tetap dijaga dengan teliti melalui rekod servis sebanyak dua kali dan menjalani ujian MOT secara berkala bagi memastikan komponen mekanikalnya kekal berfungsi dengan baik.

Model Rare Dalam Pasaran Pengumpul
Defender 90 Pick Up spesifikasi ringkas ini amat dicari oleh pengumpul.
Mengikut data pendaftaran kenderaan di United Kingdom unit ini adalah salah satu daripada hanya 334 unit varian TD yang didaftarkan pada 2015.
Nilai koleksinya semakin tinggi kerana ia dikeluarkan setahun sebelum pengeluaran terakhir Defender casis berasingan iaitu versi 90 jarak roda pendek dengan bumbung kanvas penuh ditamatkan secara rasmi.
Tempahan Tersendiri

Setelah Land Rover mengumumkan penamatan produksi Defender casis berasingan pada 2013, model edisi khas Heritage, Adventure dan Autobiography telah dilancarkan pada 2015.
Namun, pemilik asal menganggap ketiga-tiga model tersebut terlalu sarat dengan aksesori dan gaya.
Sebagai alternatif, pemilik menempah unit ini dengan spesifikasi tersendiri sebagai penghormatan peribadi kepada model Series 1 semasa beliau membesar.

Siap dibina pada musim panas 2015, unit dengan nombor casis SALLDWRP7FA474446 ini ditempah khusus dalam varian Pick Up Single Cab dengan bumbung kanvas belakang.
Bagi mengekalkan konsep ringkas, ia menggunakan warna bukan metalik Keswick Green dengan fabrik hitam tanpa dilengkapi tingkap elektrik, sistem penyaman udara, kunci sentral, tempat duduk kulit, permaidani tebal mahupun pembesar suara subwufer.
Rangkaian Kuasa

Sama seperti semua model terakhir L316 Defender, unit ini dikuasakan oleh enjin 2.2 liter turbodiesel yang mematuhi piawaian Euro 5.
Enjin ini dipadankan bersama kotak gear manual enam kelajuan dan menggunakan rim besi dengan warna badan kenderaan serta cermin sisi jenis asas bagi mengekalkan ciri tradisional.
Bidaan H&H Classics di Kelham Hall

Firma lelongan H&H Classics akan mengendalikan jualan unit ini di Kelham Hall Newark Nottinghamshire.
Sesi paparan awam akan bermula pada hari Selasa 17 Mac manakala acara bidaan utama akan berlangsung pada hari Rabu 18 Mac jam 12 tengah hari.
Jangkaan harga bagi unit ini adalah di antara £50,000 (RM265,950) hingga £60,000 (RM319,140).
Bakal pembeli boleh membuat bidaan secara bersemuka di lokasi melalui panggilan telefon bidaan dalam talian atau meninggalkan bidaan komisen secara rasmi melalui laman web mereka.

Spesifikasi Land Rover Defender 90 Pick Up Single Cab
- Model: Land Rover Defender 90 Pick Up Single Cab
- Tahun Buatan: 2015
- Jarak Perbatuan: 124 batu (200 km)
- Nombor Casis: SALLDWRP7FA474446
- Enjin: 2.2 liter turbodiesel Euro 5
- Transmisi: Manual 6 kelajuan
- Warna: Keswick Green (bukan metalik)
- Dalaman: Upholsteri fabrik hitam
- Roda: Rim besi dengan warna badan kenderaan
- Kelengkapan Luaran: Bumbung kanvas belakang (Rear Canvas Tilt) dan cermin sisi jenis asas
- Ciri-ciri Lain: Tiada tingkap elektrik, penyaman udara, kunci sentral, tempat duduk kulit, permaidani tebal dan sub woofer
- Status Simpanan: Simpanan bangsal (barn stored) dan belum pernah terkena hujan
- Pemilikan: 1 pemilik sejak baru
- Anggaran Harga: £50,000 (RM265,950) hingga £60,000 (RM319,140)





































