
FACEL VEGA HK500 INI TERSIMPAN LEBIH 45 TAHUN, BERAPA HARGA AGAKNYA?
Membaca kisah penemuan kereta yang disimpan atau tersadai lama di dalam garaj memang menarik. Bukan sahaja kereta buatan luar, Proton Saga juga pernah ditemui di dalam garaj di United Kingdom (UK).
Harganya pula jangan cerita dan jarang kedengaran dijual murah. Terbaru sebuah kereta Facel Vega HK500 1960 6.3 liter automatik tersimpan hampir puluhan tahun di sebuah garaj di Wales, UK.
Dibawa keluar pada Februari 2023, kereta itu dibuka untuk bidaan oleh H&H Classics pada 26 April di The Pavilion Gardens, Buxton.

Dari segi sejarah, kereta itu dengan warna asal Brunswick Blue dan balutan kulit kelabu didaftarkan pada 15 Julai 1960 dengan nombor WO 2.
Pemilik pertama ialah pengasas dan pengerusi Magnatex Ltd., W.E. O’Shay Esq.
Kereta itu kemudian bertukar tangan kepada En. Fane dari Wormsley Park (estet hartanah, sekarang dimiliki keluarga Getty) dan selepas itu dimiliki oleh Kevin Silcock Esq pada 1967.
Kereta itu sekali lagi bertukar tangan pada 1976 dan rekod ujian MOT (pemeriksaan berkala UK) terakhir ialah pada 1972 dengan jarak pemanduan 55,000 batu (88,513 km).

HK500 diperkenal pada 1958 dan merupakan model Facel Vaga paling popular. Model ini direka untuk bersaing dengan model handalan lain seperti Ferrari 250 GTE, Maserati 3500GT dan Aston Martin DB4.
Di antara personaliti yang pernah memiliki HK500 seperti Pablo Picasso dan Sir Stirling Moss.
HK500 menggunakan enjin Chrysler 5.9 liter V8 OHV (sebelum diganti dengan 6.3 liter) dengan transmisi automatik.

Pembeli juga boleh mendapatkan versi manual empat kelajuan Pont-a-Mousson dan karburetor berkembar Carter dengan empat cok.
Dari segi prestasi, Autocar melaporkan sebuah HK500 manual boleh memecut dari 0 hingga 97 kilometer sejam (km/j) dalam 8.4 saat, 0 hingga 160 km/j dalam 19.1 saat dan kelajuan mencecah 225 km/j!
Pakej ketangkasan itu menggagumkan untuk sebuah kereta era 50an dan satu daripada kereta terpantas di dalam generasinya.
BACA: KOLEKSI KERETA IKONIK JEPUN UNTUK DIJUAL, ‘RARE’ BELAKA!
BACA: INGAT LAGI MAZDA FAMILIA? INI FAMILIA VAN TERBARU!
BACA: KENAPA NISSAN GT-R35 SEMAKIN MAHAL? KAN KERETA LAMA



