
JAGUAR LAND ROVER DERDEPAN SAMAN KERANA MASALAH CERMIN HADAPAN – ASYIK MENYAMAN JE MAT SALEH NI
Satu saman telah difailkan di US District Court for the District of New Jersey. Ia difailkan pada September lepas oleh sekumpulan pemilik Land Rover Defender keluaran 2020-2022. Plaintif mendakwa cermin hadapan model ini senang sangat retak.

Ia cukup kontras dengan imej Land Rover Defender yang cukup rugged dan dikatakan mampu dipandu ke mana sahaja. Malah SUV ini sepatutnya mampu beroperasi dalam keadaan yang paling ekstrim tanpa gagal.
Namun berdasarkan saman tersebut, ramai pemilik yang ternyata tidak puas hati kerana cermin tersebut dikatakan terjejas walaupun hanya selepas perlanggaran kecil. Kos menggantikan cermin baharu dan membaikinya juga dikatakan terlalu tinggi. Haih, nama pun Land Rover, baik pakai Myvi macam ni.
Malah dalam laman sosial seperti Reddit, terdapat banyak perbincangan atas talian di kalangan pemilik tentang masalah cermin hadapan Defender. Ada yang menyalahkan rekaan cermin tersebut tapi ada yang menyatakan mereka mempunyai Land Rover model lain tapi tidak mempunyai masalah yang sama seperti Defender 2020-2022.
Plaintif juga mendakwa Land Rover sedia maklum tentang masalah ini sejak 2019. Malah saman yang hampir sama pernah difailkan pada tahun 2022 tapi telah ditolak oleh mahkamah. Berdasarkan aduan kepada NHTSA, ada beberapa orang pemilik yang mendakwa cermin Defender mereka retak 30 hari selepas tarikh pembelian. Ada juga aduan tentang jangka masa yang terlalu lama untuk mendapatkan cermin gentian. Makan bulan juga la baru sampai.
Selain masalah ketidakselesaan dan kerugian dari segi wang ringgit, saman tersebut juga menyentuh tentang isu keselamtan akibat kegagalan fungsi cermin hadapan. Memang bahaya pun kalau memandu dengan cermin retak seribu. Ia juga boleh menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang.

Selain ganti rugi kerugian yang dialami plaintif juga mahu Jaguar Defender memanggil balik kesemua kenderaan yang bermasalah dan membaiki kesemua kerosakan akibat penggunaan cermin tersebut.