3 RIBU LAND ROVER DEFENDER DENGAN KIT UBAH SUAI URBAN AUTOMOTIVE, SUV MEWAH DAN GARANG!
Sekarang ini sudah menjadi kebiasaan untuk pelanggan membuat pesanan khas kenderaan melalui pengimport bebas.
Melalui khidmat ini anda boleh memesan jenis dan spesifikasi yang dimahukan dan model yang hebat bukan sekadar tayangan di internet malah dihantar terus ke depan rumah.
United Kingdom (UK) merupakan lubuk kereta ubah suai khas untuk pelanggan tempatan kerana pemanduannya di sebelah kanan.
Di antara syarikat pengubahsuaian khas jenama mewah ialah Urban Automotive dari UK.
Urban Automotive kini meraikan 3,000 Land Rover Defender L663 yang dipasang kit keluarannya dengan Widetrack sahaja terjual lebih 2,500 unit di serata dunia.
Program penggayaan Defender dilancar pada 2020 dan kini boleh dipesan untuk varian 90 dan 110.
Pemilik Defender 130 boleh mendapatkan kit Widetrack bermula Februari 2024.
Di antara perkakasan Defender 130 seperti bonet genti karbon berliang, spoiler bumbung dan pek gayaan hitam untuk bampar dan jeriji.
Urban turut menawarkan empat pilihan rim premium dengan rim aloi WX4 ‘Ballistic’ baharu dalam saiz 20 dan 22 inci.
Sama seperti kesemua pakej ubah suai Urban Automotive, kit Urban Widetrack direka sendiri secara dalaman dan diketuai pengasas syarikat, Simon Dearn.
Mereka berpegang kepada gaya OEM+ iaitu setiap elemen dibuat untuk melengkapi dan mengangkat reka bentuk asal dari pengeluar.
Hasilnya sebuah kereta ubah suai yang kemas dan mengekalkan identiti asal. Setiap kit juga dibuat sepenuhnya di UK.
Pakej Urban Widetrack:
- Pod lampu bumbung LED berkuasa tinggi
- Lampu depan LED petak berkuasa tinggi
- Pek Gayaan Hitam untuk perkakasan asal (Pengubahsuain oleh Urban Automotive sahaja)
- Pod bonet dan liang sisi Best of British
- Logo Urban pada bonet
- Rim aloi 22 inci (Sawblade, Explorer, Competition dan Ballistic)
- Penutup rim ganti Urban
- Pendakap lingkungan roda lebar
- Spoiler bumbung
- Pemijak sisi Black Shadow
- Penghadang lumpur depan dan belakang Urban
- Lencana Urban pada bahagian depan, sisi dan belakang
Harga bermula daripada 15,549 pound (RM93,846). Pelanggan juga boleh memesan perkakasan berikut:
- Bonet gentian karbon berlian
- Canard depan Widetrack
- Lampu belakang gelap NAS
- Ekzos berprestasi Milltek
- Bahagian dalam balutan kulit tempahan khas
- Kerusi Recaro CS dengan cengkerang karbon
Selain balutan dalam baharu, pelanggan boleh memesan kerusi Recaro CS Sportster dan stereng kulit bentuk D dengan balutan kulit.
Pelanggan juga boleh memesan pelbagai kemasan dan pilihan warna.
Urban Automotive turut menawarkan dua model edisi terhad iaitu Grasmere Green Signature Series 75th Anniversary dan 65 Urban XRS .