Buletin

10 KERETA SELAMAT 2019, 2 MAZDA TERSENARAI DALAM DOMINASI KUMP. VW

Aspek keselamatan adalah sesuatu yang penting dalam pemilihan kereta. Semakin hari piawaian keselamatan semakin ketat dan pengguna yang cerewet turut membantu dalam agenda ini.

Satu yang positif mengenai perkara ini apabila teknologi dan kelengkapan keselamatan semakin menyeluruh dan merentasi segmen.

Jika dahulu hanya kereta premium dilengkapi enam beg udara, hari ini kereta kecil dan aras mula turut mempunyai jumlah yang sama.

Thatcham Research, iaitu sebuah badan keselamatan dan pembaikan automotif membuat analisa mengenai kereta paling selamat untuk tahun 2019.

Sementara keputusan akhir dikeluarkan, Thatcham mengumumkan sepuluh kereta terbaik 2019. Di antara yang tersenarai ialah Mazda CX-30, kereta pertama berjaya meraih 99 peratus markah Euro NCAP untuk perlindungan dewasa (AOP).

Model hebat lain juga tersenarai seperti Tesla Model 3 dengan teknologi pencegahan kemalangan canggih dan Mercedes-Benz CLA yang mungkin menjadikan pengeluarnya sebagai jenama kedua berturut-turut memenangi Anugerah Keselamatan.

Di antara himpunan model yang tersenarai, Kumpulan Volkswagen paling dominan. Model yang tersenarai adalah Škoda Scala, VW T-Cross, SEAT Tarraco dan VW Golf 8.

Mazda yang merupakan wakil tunggal pengeluar Asia turut membanggakan apabila dua modelnya iaitu CX-30 dan Mazda3 tersenarai.

10 kereta yang disenarai pendek untuk anugerah terbaik dipilih oleh panel pakar yang terdiri daripada Matthew Avery dari Thatcham Research, Michiel van Ratingen, Setiausaha Agung EURO NCAP dan Claire Evans, Editor Konsumer majalah What Car?.

Kriteria penghakiman adalah seperti berikut:

  • Lima bintang Euro NCAP dan markah keseluruhan tinggi Euro NCAP dalam keseluruhan kategori
  • Potensi jualan dan tahap mampu milik. Supaya kereta yang selamat mampu dinikmati ramai pengguna dan impak besar di dalam keselamatan jalan raya
  • Teknologi pencegahan keselamatan yang dipasang standard pada kereta. Contohnya sistem Pembrekan Kecemasan Autonomi (AEB) yang boleh mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal sehingga kepada sistem Pengekalan Laluan (LKA) bagi  mengelak pelanggaran berdepan
  • Sistem Bantuan Pemanduan seperti Kawalan Jelajah Adaptif dan Sistem Bantuan Laluan yang dapat mengurangkan keletihan pemandu di atas lebuh raya

Pemenang dan dua naib juara akan dipilih daripada sepuluh model terbaik dan diumumkan pada Anugerah Kereta Tahuhan What Car? 2020 pada Januari depan.

BACA: PERIKSA KERETA SEBELUM BELI? INI 12 TIPS PENTING DARI KING YAZID

BACA: TIPS BALIK KAMPUNG – LALUAN TERBAIK BAGI MENGELAKKAN TRAFIK DAN PERSIAPAN UNTUK PERJALANAN

BACA: ADAKAH TALI PINGGANG KESELAMATAN SEKADAR HIASAN?

Google ads
Back to top button