
LEAPMOTOR CATAT REKOD 103,129 PENGHANTARAN GLOBAL PADA OGOS
Pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, Leapmotor, terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran global apabila mencatat penghantaran sebanyak 103,129 unit kenderaan sepanjang Ogos 2026.
Pencapaian itu menjadikan Ogos sebagai bulan kelima berturut-turut syarikat berkenaan mencatat rekod penghantaran bulanan tertinggi, selain mengekalkan prestasi melepasi paras 100,000 unit untuk dua bulan berturut-turut.
Berbanding tempoh sama tahun lalu, jumlah penghantaran pada Ogos meningkat 80.72 peratus, sekali gus meletakkan Leapmotor dalam kelompok empat jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) penumpang terbesar dunia serta tiga jenama China terbaik dalam segmen berkenaan.
Prestasi tersebut menyusul kejayaan pada Julai lalu apabila Leapmotor muncul sebagai syarikat pemula (start-up) NEV pertama dari China yang berjaya melepasi angka 100,000 penghantaran dalam tempoh sebulan.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, syarikat itu merekodkan penghantaran sebanyak 560,883 unit di seluruh dunia, meningkat 70.55 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pencapaian itu turut mengukuhkan status Leapmotor sebagai syarikat pemula NEV paling berjaya dari China setakat ini.
Sejak memulakan jualan kenderaan pada tahun 2020, jumlah penghantaran terkumpul Leapmotor kini mencecah 1.76 juta unit. Syarikat itu sebelum ini melepasi paras 1.5 juta unit pada awal tahun dan berjaya menambah lebih 250,000 pelanggan baharu dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
Pertumbuhan pesat tersebut didorong oleh permintaan yang berterusan terhadap rangkaian model Leapmotor di pasaran domestik dan antarabangsa, selain disokong oleh keupayaan penyelidikan serta pembangunan (R&D) dalaman yang menyeluruh dan operasi pembuatan sendiri.
Dalam usaha memperkukuh daya saing teknologi, Leapmotor dijadual mengadakan Persidangan Teknologi Tahunan 2026 pada 16 September ini.
Pada acara itu, syarikat berkenaan akan memperkenalkan generasi baharu teknologi bantuan pemanduan berasaskan model dunia (world model), di samping mempamerkan kemajuan terkini dalam sistem bateri, motor elektrik dan kawalan elektronik.
Langkah tersebut dijangka terus mempercepatkan perkembangan Leapmotor dalam pasaran global serta mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama NEV yang berkembang paling pantas di dunia.








