
LEAPMOTOR CIPTA SEJARAH, CAPAI PRODUKSI 2 JUTA UNIT
Leapmotor mencipta satu lagi pencapaian penting dalam industri kenderaan tenaga baharu (NEV) China apabila unit pengeluaran ke-2 juta syarikat itu selesai dipasang di fasiliti pembuatan pintar mereka di Jinhua pada 19 November lalu.
Pencapaian berkenaan menjadikan Leapmotor sebagai pengeluar kenderaan tenaga baharu (NEV) berstatus syarikat pemula pertama dari China yang berjaya mencapai jumlah pengeluaran sebanyak dua juta unit.
Kejayaan itu hadir seiring peningkatan prestasi jualan syarikat berkenaan di pasaran domestik dan antarabangsa.
Pada Oktober 2026, Leapmotor merekodkan penghantaran sebanyak 106,127 unit, angka bulanan tertinggi setakat ini dan bulan keempat berturut-turut syarikat itu melepasi paras 100,000 unit.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 pula, jumlah penghantaran terkumpul mencapai 772,666 unit, meningkat sebanyak 65.88 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan pantas itu didorong strategi pembangunan teknologi secara dalaman, selain penekanan terhadap aspek kualiti produk dan kecekapan operasi.
Leapmotor membangunkan sebahagian besar teknologi kenderaannya sendiri, termasuk sistem dan komponen utama. Pendekatan itu membolehkan syarikat mengawal kos pengeluaran serta kualiti produk, di samping menawarkan teknologi moden pada harga yang lebih mampu milik.
Ketika ini, barisan model Leapmotor merangkumi platform A, B, C dan D yang meliputi pelbagai segmen pasaran, daripada kenderaan kompak hingga model flagship.
Daripada keseluruhan dua juta unit yang dihasilkan, model daripada siri C dan D menyumbang lebih separuh daripada jumlah berkenaan. Siri C sahaja pula semakin menghampiri angka sejuta jualan terkumpul di seluruh dunia.
Untuk rekod, dua model utamanya, C10 dan C11, masing-masing telah mencatatkan jualan terkumpul global melebihi 350,000 unit.
Dalam perkembangan sama, model B10 terus menjadi antara penyumbang utama jualan global jenama itu, manakala B03X yang mula ditawarkan di luar China sejak Oktober lalu turut menunjukkan penerimaan positif dalam segmennya.
Leapmotor menyifatkan pencapaian dua juta unit itu sebagai bukti keyakinan pengguna terhadap produk keluarannya, khususnya dari segi teknologi, kualiti, praktikaliti dan nilai yang ditawarkan.








