Artikel Pilihan

GIIAS 2026: LEAPMOTOR LANCAR B10 & C10 CKD

Leapmotor terus mengukuhkan kedudukannya di rantau Asia Tenggara apabila jenama kenderaan elektrik (EV) dari China itu secara rasmi memasuki pasaran Indonesia menerusi penganjuran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026. Kemasukan rasmi ini menyaksikan dua model elektrik, iaitu Leapmotor B10 dan Leapmotor C10 diperkenalkan kepada pengguna Indonesia.

Di Indonesia, operasi Leapmotor dikendalikan oleh Indomobil Group yang dilantik sebagai pengedar rasmi jenama tersebut. Kedua-dua model yang ditawarkan bukan lagi diimport sepenuhnya (CBU), sebaliknya dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Indomobil yang terletak di Purwakarta, Jawa Barat.

Langkah ini dijangka membolehkan Leapmotor menawarkan harga yang lebih kompetitif sekali gus memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran EV yang semakin berkembang di republik itu.

Bagi model Leapmotor B10, Indonesia hanya menerima varian Design yang merupakan varian tertinggi dalam barisan model tersebut. Ini bermakna varian Life yang pernah diperkenalkan di Malaysia tidak ditawarkan kepada pengguna Indonesia. Dari segi spesifikasi, B10 yang dipasarkan di Indonesia adalah sama seperti model yang dijual di Malaysia, sekali gus memastikan pengguna menerima pakej kelengkapan dan teknologi yang setanding.

Selain B10, Leapmotor turut memperkenalkan SUV elektrik C10 yang juga mengekalkan spesifikasi sama seperti model pasaran Malaysia. Di Malaysia, C10 kini dipasang secara tempatan di kilang Stellantis di Gurun, Kedah, manakala Indonesia menggunakan fasiliti pemasangan milik Indomobil. Pendekatan ini menunjukkan strategi Stellantis untuk memperluaskan rangkaian pemasangan tempatan di rantau ASEAN bagi meningkatkan daya saing jenama Leapmotor.

Kehadiran Leapmotor di Indonesia juga membuktikan kedua-dua negara kini menerima produk dengan spesifikasi yang hampir serupa, namun dibezakan menerusi rakan pengedaran dan lokasi pemasangan. Jika di Malaysia jenama ini diuruskan oleh Stellantis Malaysia, di Indonesia pula tanggungjawab tersebut diserahkan kepada Indomobil Group yang turut mengendalikan beberapa jenama di bawah Stellantis.

Apa yang lebih menarik, laporan itu turut memberi bayangan bahawa Leapmotor B10 di Malaysia dijangka beralih kepada pemasangan CKD dalam masa terdekat. Perkembangan itu dilihat selari dengan strategi yang dilaksanakan di Indonesia, malah terdapat kemungkinan hanya varian Design akan dikekalkan apabila pengeluaran tempatan dimulakan nanti.

Dengan pengembangan operasi ke Indonesia serta pelaksanaan strategi pemasangan tempatan di beberapa negara ASEAN, Leapmotor dilihat semakin serius untuk mengukuhkan kehadirannya di rantau ini. Pendekatan tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan kos pengeluaran, malah berpotensi menawarkan harga yang lebih kompetitif kepada pengguna sambil mempercepatkan pertumbuhan jenama dalam segmen kenderaan elektrik.

Google ads
Back to top button